Buletin

Ajay Devgn sertai Sanjay Dutt dalam filem "Bhuj: The Pride of India"

Penulis: Nisa Irina


Ajay Devgn akan menjayakan watak Pemimpin Squadron Vijay Karnik.

11 Jul – Pembikin filem dan aktor Ajav Devgn akan kembali berganding dengan Sanjay Dutt menerusi filem perang "Bhuj: The Pride of India".

Ajay yang baru sahaja pulang bercuti bersama isteri, Kajol dan anak-anaknya, telah bersedia untuk memulakan penggambaran filem tersebut.

"Dia akan memulakan penggambaran bersama Sanjay di Hyderabad pada 11 Julai. Selepas itu, Ajay akan berlepas ke Gujarat di mana sepenuh babaknya akan difilemkan di sana," ujar satu sumber terdekat.

Laporan dari MumbaiMirror menyatakan Ajay akan menjayakan watak Pemimpin Squadron Vijay Karnik, yang ditugaskan untuk menjaga pangkalan udara Bhuj semasa Perang Indo-Pakistan 1971.

Ditemani 50 orang tentera udara dan 60 orang kakitangan keselamatan pertahanan, dia membina semula landasan kapal terbang Angkatan Tentera Udara India dengan bantuan daripada 300 orang wanita dari kampung berdekatan.


"Watak Ajay dan Sanjay amat menarik dan merupakan tulang belakang bagi filem ini. Penonton akan menyaksikan mereka berdua dalam karakter yang berbeza," ujar penerbit Bhushan Kumar.

Filem itu turut menampilkan Parineeti Chopra dan Rana Daggubati yang membawa watak perisik dan leftenan kolonel pasukan Madras, sementara Amy Virk sebagai juruterbang angkatan tentera udara.

Filem itu menandakan gandingan semula Ajay dan Sanjay selepas tujuh tahun berkolaborasi menerusi filem "Son of Sardaar" pada 2012.

Selepas selesai jadual di Hyderabad dan Gujarat, Ajay akan meneruskan penggambaran bagi filem biopik mengenai Syed Abdul Rahim, di mana dia merupakan peneraju utama.

Selain itu, dia juga akan membintangi filem "Tanhaji: The Unsung Warrior" yang baru sahaja menamatkan penggambaran selama 111 hari di Mumbai baru-baru ini.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Biz Asia)

Cinema Online, 11 Julai 2019


Showtimes