Buletin

Akshay Kumar pilih untuk naikkan nama atas usaha sendiri

Penulis: Nisa Irina

Akshay Kumar mengakui dirinya tidak layak untuk bekerja dengan pengarah terkenal.
Akshay Kumar mengakui dirinya tidak layak untuk bekerja dengan pengarah terkenal.

5 Dis– Tidak dinafikan bahawa lakonan mantap bintang terkenal Akshay Kumar sering menjadi faktor filem yang dibintanginya berjaya pecah panggung, termasuk filem-filem berbajet rendah.

Walau bagaimanapun, Akshay mendedahkan dia lebih selesa untuk bekerja dengan pengarah filem baru kerana tidak menjadi pilihan pengarah-pengarah terkenal.

"Saya bekerja dengan pengarah baru kerana pengarah terkenal tidak memilih saya. Apabila kamu tidak dipilih, kamu perlu memulakan perjalanan kamu sendiri.

"Jika tidak diterima untuk bekerja di bawah syarikat produksi yang besar, kamu harus berpaling ke produksi yang kecil, dari situ kamu perlu terus berusaha," katanya yang dipetik dari Times of India.

Dengan sikap rendah diri, Akshay memberitahu bahawa dia tidak diterima pengarah terkenal kerana merasakan dirinya tidak layak seperti bintang-bintang yang namanya diakhiri dengan Khan atau Kapoor.


Tambah aktor filem komedi "Housefull 4" itu lagi, biarpun ada segelintir pembikin filem menerbitkan filem untuk dia terajui, namun mereka tidak mengarah projek-projek tersebut.

Beralih ke perkembangan baru, Akshay akan bekerjasama dengan pengarah baru Raj Mehta bagi filem komedi "Good Newwz" yang ditayangkan bermula 27 Disember ini.

Turut membintangi filem itu ialah barisan pelakon seperti Kareena Kapoor Khan, Diljit Dosanjh, Kiara Advani dan Gulshan Grover.

(Sumber foto: Adgully)

(Sumber artikel: Times of India)

Cinema Online, 5 Disember 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes