Buletin

Dr. Altintas Ahmet Ali bakal masuk ke dunia Bollywood

Penulis: Nisa Irina

Dr. Altintas Ahmet Ali teruja untuk membintangi filem Bollywood pertamanya.
Dr. Altintas Ahmet Ali teruja untuk membintangi filem Bollywood pertamanya.

28 Nov – Doktor pakar pembedahan plastik terkenal Dr. Altintas Ahmet Ali bakal membuat debut dalam industri Bollywood apabila dipilih untuk menerajui sebuah filem Hindi.

Menurut laporan dari Mid-day, Altintas telah dihubungi oleh seorang pengarah filem Bollywood ternama yang menawarkan watak utama dalam filem terbarunya.

Sehubungan dengan itu, Altintas memberikan persetujuan kepada pengarah berkenaan selepas membaca skrip filem dan bakal membuat pengumuman secara rasmi tidak lama lagi.

"Tidak lama lagi saya akan bergelar seorang aktor dan saya sangat teruja. Saya telah pun membaca skrip dan secara ringkas, saya akan menggalas watak seorang doktor dalam filem debut saya.


"Saya tidak pernah ada hubung kait dengan industri perfileman. Keluarga saya percaya tidak mudah untuk mengangkat minat saya untuk dijadikan sebuah kerjaya. Mereka meyakinkan saya untuk mengambil jurusan perubatan.

"Namun begitu, ada kalanya saya merindui zaman lakonan di kolej dan sekolah. Kini saya dah dikenali dalam kerjaya saya jadi saya fikir tidak salah untuk saya menceburi bidang lakonan," ujar Altintas dengan lebih lanjut.

Biarpun bakal bergelar aktor, Altintas memberitahu dia tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai seorang doktor dan akan meluangkan masa bersama pesakit-pesakitnya sejurus selesai menjalani penggambaran.

Sesi penggambaran bagi filem yang belum diberi judul itu akan berlangsung pada Disember ini di India dan Filipina. Ia dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

(Sumber foto: The Statesman)
(Sumber artikel: Mid-day)

Cinema Online, 28 November 2019


Showtimes