Buletin

Ananya Panday tambah berat badan demi watak

Penulis: Nisa Irina


Ananya Panday perlu makan setiap dua jam sekali bagi menambah protein.

11 Jul – Aktres Ananya Panday mendedahkan bahawa dia perlu menambah berat badan sekurang-kurangnya 5kg bagi filem "Pati Patni Aur Who".

Menurut laporan yang dipetik dari Masala, aktres berumur 20 tahun itu perlu berbuat demikian bagi menampakkan wataknya lebih berusia dalam filem tersebut.

Walaupun perlu menambah berat, ia tidak bermakna Ananya boleh makan apa sahaja, sebaliknya dia perlu mengambil pemakanan yang seimbang.

Sebagai persiapan, Ananya kini menjalani rutin pemakanannya di bawah pengawasan seorang pelatih selebriti bernama Yasmin Karachiwala.

"Ia merupakan satu cabaran buat saya memandangkan agak sukar untuk saya menambah berat badan. Saya perlu makan setiap dua jam sekali bagi menambah protein.


"Jika saya ingin mendapat berat badan yang ideal, saya tidak boleh makan sesuka hati," jelas Ananya yang perlu membawa watak seorang kerani.

Menerusi filem 'remake' Hindi itu juga, Ananya akan digandingkan bersama aktor Kartik Aaryan dan Bhumi Pednekar. Filem asal arahan B.R. Chopra itu diterbitkan pada 1978, menampilkan Sanjeev Kumar, Vidya Sinha dan Ranjeeta Kaur.

Sesi penggambaran akan dimulakan bulan ini di Lucknow di bawah arahan Mudassar Aziz. Filem 'remake' terbitan Bhushan Kumar itu bakal ditayangkan pada 10 Januari 2020.

(Sumber artikel: Masala)
(Sumber foto: Filmfare)

Cinema Online, 11 Julai 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes