Buletin

"BoBoiBoy Movie 2" catat kutipan RM9.9 juta dalam lima hari

Penulis: Nisa Irina


Filem "BoBoiBoy Movie 2" berjaya menambat hati ramai peminat dari pelbagai peringkat umur.

14 Ogos – Kerja keras produksi Animonsta Studios ternyata membuahkan hasil apabila filem animasi "BoBoiBoy Movie 2" berjaya meraih kutipan sebanyak RM9.9 juta dalam tempoh lima hari tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak meluahkan rasa teruja apabila filem terbitannya berjaya mencipta rekod baru dalam sejarah filem animasi tempatan.

"Saya berasa begitu teruja dan tidak menyangka kutipan BBBM2 boleh mencecah RM9.9 juta dalam tempoh lima hari sahaja.

"Filem "Boboiboy" yang pertama memerlukan 13 hari untuk mendapat jumlah yang sama. Ini menunjukkan penonton di Malaysia sudah menerima dan menyokong animasi tempatan," ujarnya menerusi laporan dari Kosmo Online.


Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Jastina Raja Arshad berkata, perkara itu telah menunjukkan impak yang positif dalam perkembangan industri perfileman tempatan.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa produksi Animonsta Studios hanya mengambil tempoh selama 12 bulan untuk menyiapkan filem itu dengan kos sebanyak RM7 juta.

Sebagai usaha untuk terus mempromosikan filem "BoBoiBoy Movie 2", satu siri jelajah telah diadakan bermula minggu lalu di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Lembah Klang.

Menurut Jastina, siri jelajah itu akan diteruskan lagi di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang pada minggu hadapan.

Cinema Online, 14 Ogos 2019


Related Movies:
BoBoiBoy Movie 2 (Malay) (08 Aug 2019)
BoBoiBoy The Movie (Malay) (18 Mar 2016)
Showtimes