Buletin

Janhvi dan Boney Kapoor berkolaborasi dalam filem "Bombay Girl"

Penulis: Nisa Irina

Boney Kapoor teruja bekerja dengan Janhvi buat pertama kali.
Boney Kapoor teruja bekerja dengan Janhvi buat pertama kali.

9 Okt – Aktres yang membuat debut menerusi filem "Dhadak", Janhvi Kapoor, dilaporkan akan bekerjasama buat pertama kali dengan bapanya, Boney Kapoor, dalam sebuah projek filem terbaru mereka.

Diberi judul "Bombay Girl", Boney yang bertindak sebagai penerbit mendedahkan bahawa penggambaran filemnya itu akan bermula pada tahun hadapan.

Filem itu berkisar mengenai seorang remaja yang kuat memberontak, yang mana akan ditulis serta diarahkan oleh Ssanjay Tripaathy.


"Ia akan menceritakan mengenai seorang remaja yang kuat memberontak dan Janhvi sangat teruja kerana watak itu berbeza dengan personalitinya," ujar satu sumber terdekat yang dipetik dari Hindustan Times.

Bercakap mengenai kolaborasi pertama bersama anaknya itu, Boney berkata ia adalah satu pengalaman yang menarik dan penuh emosi.

"Saya sangat teruja dengan filem ini. Janhvi akan melakukan sesuatu yang baru dan sangat berlainan dengan apa yang dilakonkan dalam filem-filem sebelumnya.

"Bagi saya apabila seorang bapa bekerja bersama anak-anaknya, ia adalah satu pengalaman yang penuh emosi, dan itulah apa yang saya rasakan sekarang sepertimana saya bekerja dengan Arjun buat pertama kali," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Boney akan bekerja dengan Arjun Kapoor dalam sebuah 'remake' filem Tamil berjudul "Comali".

Sementara itu, Janhvi pula akan berganding dengan aktor Rajkummar Rao menerusi filem komedi seram "Roohi Afza" serta filem biopik mengenai juruterbang Gunjan Saxena, "The Kargil Girl".

(Sumber foto: Janhvi Kapoor Instagram)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Cinema Online, 9 Oktober 2019


Showtimes