Buletin

"Ejen Ali The Movie" kutip RM6.4 juta selepas 3 hari tayangan

Penulis: Ashraf Nasser


Nampaknya tahun 2019 menyaksikan filem animasi tempatan mendominasi kutipan di pawagam.

3 Dis – Filem animasi tempatan terbaru "Ejen Ali The Movie" terus cemerlang apabila berjaya mengutip RM6.4 juta selepas tiga hari tayangannya di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Sambutan luar biasa penonton terhadap filem animasi terbitan Wau Animation dan Primeworks Studios ini telah berjaya mengatasi kutipan dari filem luar negara termasuk Hollywood.

"Terima kasih atas sokongan yang diberikan terhadap produk filem Malaysia. Dari awal lagi kami sangat terkejut dengan sambutan luar biasa ini dan menerima banyak maklum balas positif daripada penonton.


"Malah, apa yang membuatkan kami lebih bersemangat adalah ramai mengatakan kualiti filem ini mengalahkan filem antarabangsa. Saya berharap, angka ini akan bertambah sepanjang musim cuti sekolah ini," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar yang dipetik dari Harian Metro.

Filem "Ejen Ali The Movie" bermula dengan langkah kanan apabila berjaya mengutip RM1.8 juta pada hari pertama dan dijangka kutipan akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Kejayaan terbaru ini menyaksikan filem "Ejen Ali The Movie" meneruskan kecemerlangan dua filem animasi tempatan yang ditayangkan sebelum ini iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang berjaya mengutip lebih RM26 juta dan "BoBoiBoy Movie 2" yang berjaya mengutip lebih RM29 juta.

Mampukah filem "Ejen Ali The Movie" cipta rekod kutipan baru? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Cinema Online, 3 Disember 2019


Showtimes