Buletin

Fadilah Mansor mahu kembali berlakon

Penulis: Ashraf Nasser


Fadilah Mansor kini sedang dalam proses pemulihan selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

11 Jul – Pelakon veteran tersohor tanah air Datin Fadilah Mansor meluahkan hasratnya untuk kembali beraksi di depan kamera selepas kesihatannya semakin pulih nanti.

Dramatis itu mengambil keputusan untuk kembali berlakon kerana berasa sunyi selepas kematian suaminya iaitu Allahyarham Datuk A Rahman Hassan.

"Ketika hayatnya masih ada, arwah tidak pernah menghalang saya aktif, malah kami saling menyokong kerjaya seni masing-masing.

"Sepanjang tahun ini, ada beberapa drama yang saya bintangi. Sepatutnya saya terbabit dalam sebuah projek terbaru, tetapi saya tolak disebabkan masih dalam tempoh edah.


"Tambahan pula, keadaan kesihatan saya juga kurang mengizinkan, tetapi jika tidak culas ambil ubat dan mengamalkan gaya hidup sihat, InsyaAllah saya boleh kembali ke set," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Terdahulu pelakon "Bisik Pada Langit" ini telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami masalah jantung.

Aktres berusia 59 tahun itu berkata insiden itu berlaku kerana dia berasa rindu terhadap arwah sehingga dia sukar tidur, tidak berselera makan dan sayu sepanjang masa kerana selalu terbayangkan arwah.

Fadilah dan A Rahman telah selamat diijabkabulkan pada 25 Disember 2014 sebelum penyanyi terkenal itu menghembuskan nafas terakhirnya 13 Jun lalu.

(Sumber foto: Fadilah Mansor Instagram)

Cinema Online, 11 Julai 2019


Related Movies:
Bisik Pada Langit (Malay) (22 Sep 2017)
Showtimes