30 Nov – Pengarah dan pereka tari Farah Khan memberitahu dia tidak mahu dilabel sebagai 'pengarah wanita' dan berharap stereotaip jantina dapat dihentikan dalam industri perfileman. "Pada pendapat saya, seorang pengarah tidak perlu dipandang dari segi jantina. Ia bukanlah sebuah kerjaya yang khusus untuk satu jantina sahaja. "Ia bukan seperti aktor dan aktres, yang hanya boleh membawa watak sebagai lelaki dan wanita. Malah, kadangkala mereka mampu melakukan kedua-duanya sekali. Dari awal lagi saya menolak stereotaip jantina. "Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya dijadikan isu jika anda ingin bercakap mengenai hak sama rata antara kedua-dua jantina. Ia tidak akan tercapai jika anda membezakan tahap profesional seseorang berdasarkan jantinanya," ujar Farah yang dipetik dari Times of India. Menurut Farah lagi, dia turut berasa kecewa apabila melihat filem yang dibintangi peneraju lelaki lebih mendapat sambutan dan tontonan berbanding filem yang mengetengahkan wanita.