Buletin

Fendy Bakry ingin lakon watak mencabar

Penulis: Nisa Irina


Fendy Bakry tidak mahu terus terikat dengan watak romantis.

14 Ogos – Biarpun masih baru dalam bidang lakonan, pelakon Fendy Bakry memberitahu bahawa dia tidak bersikap selektif dalam pemilihan watak namun berkeinginan untuk mencuba watak yang mencabar.

"Sebelum ini, saya kerap diserahkan watak romantis dan tidak mahu selamanya terikat dengan karakter itu. Saya mahu keluar dari ruang selesa dan mencuba watak lain, terutama yang dekat dengan diri.

"Sekalipun diberikan watak budak kampung, saya tidak akan menolak. Sebenarnya, banyak yang boleh diteroka menerusi watak itu, tambahan pula ia dekat dengan jiwa memandangkan saya juga berasal dari kampung," katanya yang dipetik dari BH Online.


Tambah pemilik nama sebenar Mohd Affandi Nor Bakri itu lagi, dia cuba untuk mengelakkan dari menerima terlalu banyak tawaran secara serentak.

"Lakonan memerlukan ketelitian, membuatkan saya tertekan jika banyak karakter perlu dihadam serentak," ujar pelakon yang baru menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-31 itu.

Dalam perkembangan terbaru, Fendy kini membintangi sebuah drama yang berjudul "Ajari Playboy Itu" di mana dia digandingkan bersama pelakon Emma Maembong.

Selain itu, dia juga tampil sebagai watak Megat Haikal menerusi drama "Cinta Belum Tamat Tempoh" yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria.

(Sumber foto: Fendy Bakry Twitter)

Cinema Online, 14 Ogos 2019


Showtimes