Buletin

"Gundala" selit isu-isu relevan di sebalik kisah adiwira

Penulis: Nisa Irina

Pengarah Joko Anwar bersama para pelakon utama filem "Gundala".
Pengarah Joko Anwar bersama para pelakon utama filem "Gundala".

23 Dis – Terkenal dengan filem-filem aksi dan seram, kini pengarah tersohor Indonesia Joko Anwar tampil menghasilkan filem adiwira pertamanya "Gundala" yang juga merupakan permulaan bagi alam sinematik BumiLangit.

Menurut Joko, idea untuk menghasilkan filem adiwira itu tercetus apabila melihat negara Indonesia kaya dengan karya-karya berunsur komik dan mengambil inisiatif untuk menerapkan isu-isu relevan dalam filem tersebut.

"Kami menyedari terdapat pelbagai komik yang telah dihasilkan sejak tahun 50-an dan 60-an. "Gundala" adalah adaptasi dari karakter komik pertama di Indonesia karya Harya 'Hasmi' Suraminata yang diterbitkan oleh Jagat Sinema pada 1969.


"Komik ini mendapat sambutan hangat daripada para pencinta komik di Indonesia dan telah diterbitkan sebanyak 23 edisi hingga tahun terakhirnya pada 1982.

"Sejak awal lagi, saya telah berbincang dengan para pelakon bahawa kami perlu menghasilkan filem yang relevan dengan masyarakat zaman ini.

"Apa yang paling relevan, terutamanya di Indonesia ialah isu rasuah dan penindasan yang datang dari kerajaan dan sebahagian masyarakat," katanya yang ditemui di majlis sidang media dan tayangan khas filem "Gundala" di panggung TGV Suria KLCC, baru-baru ini.


Pengarah Joko Anwar ingin menyampaikan mesej-mesej penting kepada
para penonton menerusi "Gundala".

Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah barisan pelakon utama seperti Abimana Aryasatya, Bront Palarae, Muzakki Ramdhan dan Ario Bayu.

Pengarah filem seram "Pengabdi Setan" itu turut memberitahu dia telah mengambil tempoh selama dua bulan untuk menyiapkan skrip dan sesi penggambaran telah berlangsung di 70 lokasi di Indonesia.

Kesan visual bagi filem ini pula dihasilkan oleh Anibrain VFX, India yang terlibat dalam pembikinan filem seperti "Doctor Strange", "Guardians of Galaxy Vol 2", "Fantastic Beast" dan banyak lagi.

"Gundala" telah ditayangkan di Indonesia pada 29 Ogos tahun ini dan berjaya merangkul pelbagai anugerah termasuk Sinematografi Terbaik bagi Festival Filem Indonesia 2019. Ia juga telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Kanada pada September.

Filem ini mengisahkan Sancaka, yang perlu menjaga diri sendiri dan membesar di tepi jalanan sejak ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya ketika kecil. Kini setelah meningkat dewasa, dia bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan.

Suatu hari, selepas disambar petir, dia mendapati ia telah membangkitkan kuasa luar biasanya. Dia perlu memilih antara meneruskan hidup dengan melindungi diri sendiri atau menggunakan kuasanya untuk kebaikan dan bangkit sebagai adiwira bagi golongan yang ditindas.

"Gundala" akan menemui penonton di Malaysia bermula 26 Disember ini.

(Sumber foto: Muzakki Ramdhan Instagram)

Cinema Online, 23 Disember 2019


Related Movies:
The Queen Of Black Magic (Indonesian) (01 Jan 2020)
Satan's Slaves (Indonesian) (18 Jan 2018)

Jwplayer article page COSG

Pautan Berkaitan:
Showtimes