Buletin

Hukuman penjara Farid Kamil ditangguhkan

Penulis: Ashraf Nasser


Farid Kamil dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang penjamin.

20 Jun – Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil meluahkan rasa bersyukurnya apabila pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkannya menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan yang sedang dijalaninya sejak hujung Mei lalu.

"InsyaAllah, semuanya Allah permudahkan," ujarnya yang dipetik dari Sinar Harian.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman selepas mempertimbangkan tempoh pemenjaraan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya adalah singkat.


Farid dibenarkan keluar penjara dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia perlu menyerahkan passport antarabangsanya dan diperintah melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu, pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba" ini telah menjalani hukuman penjara selama 35 hari di Penjara Kajang, Selangor.

Sebelum ini, suami kepada pelakon Diana Danielle ini telah dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja Januari tahun lalu.

(Sumber foto: Astro Awani)

Cinema Online, 20 Jun 2019


Related Movies:
Tombiruo: Penunggu Rimba (Malay) (12 Oct 2017)
J Revolusi (Malay) (10 Mar 2017)
Showtimes