Buletin

Jalil Hamid harap syarikat produksi ubah mentaliti terhadap pelakon lama

Penulis: Nisa Irina

Jalil Hamid terpaksa 'menganggur' selama tujuh bulan kerana kurang menerima tawaran berlakon.
Jalil Hamid terpaksa 'menganggur' selama tujuh bulan kerana kurang
menerima tawaran berlakon.

29 Nov – Pelakon dan penyanyi veteran Jalil Hamid meluahkan rasa kesal kerana kurang menerima tawaran berlakon dalam tempoh tujuh bulan sejak isu bayaran sebuah syarikat produksi ditimbulkan pada tahun lalu.

Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, berpendapat bahawa syarikat produksi tidak sepatutnya memperlekehkan pelakon lama dan berpengalaman serta ingin melihat perubahan terhadap isu berkenaan.

"Walaupun isu bayaran untuk pelakon lama seperti saya sudah banyak kali disuarakan tetapi hingga kini masih tidak nampak perubahan.

"Bukan saya seorang yang bersuara tetapi ramai juga pelakon lama meluahkan perkara sama, namun situasi tetap sama.


"Alasannya, pelakon popular perlu dibayar mahal manakala pelakon 'tak berapa ada' seperti saya kena bersedia terima bayaran murah," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Walau bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru Jalil sedang menjalani penggambaran bagi siri drama 24 episod berjudul "Rindu Yang Terlarang" bersama pelakon Fikry Ibrahim dan Zahirah MacWilson.

Selain itu, Jalil bakal tampil dalam sebuah filem aksi istimewa golongan orang kurang upaya (OKU) berjudul "Garang The Movie" arahan Kan Varren.

Barisan pelakon yang turut menjayakan filem itu ialah Pablo Amirul, Ahmad Maembong, Osman Omar, John Elijah, Chacha Maembong, Izam Abdul Hamid, Wan Hanafi Su dan Syukor Abd Hamid.

Diterbitkan oleh Sakthi Films Sdn Bhd, filem "Garang The Movie" bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 Disember 2019.

(Sumber foto: Glam Lelaki Instagram)

Cinema Online, 29 November 2019


Related Movies:
Bisik Pada Langit (Malay) (22 Sep 2017)
Showtimes