Buletin

John Abraham lakonkan babak aksi "Mumbai Saga" walaupun cedera

Penulis: Nisa Irina


John Abraham membawa watak seorang gengster dalam "Mumbai Saga".

13 Dis – Bintang filem aksi John Abraham dilaporkan tetap meneruskan penggambaran filem "Mumbai Saga" walaupun mengalami kecederaan ligamen pada lengannya.

"Ligamennya koyak ketika menjalani penggambaran filem "Pagalpanti" tetapi dia merahsiakannya daripada kami. Sejurus selesai penggambaran babak aksi, dia memegang lengannya.

"Kami menasihatinya supaya mengambil rehat, tetapi dia memberitahu bahawa dia masih mampu meneruskannya.

"Namun kami telah mengubah babak seterusnya bagi memastikan kecederaannya tidak bertambah parah," dedah pengarah Sanjay Gupta seperti yang dilaporkan oleh Mumbai Mirror.


Dalam pada itu, John turut akan bergabung tenaga dengan dua pemenang Anugerah Nasional pakar lagak aksi Anbumani dan Arivumani buat pertama kali.

Menurut pengarah, dia tertarik untuk bekerja dengan kedua-dua mereka selepas menonton "KGF Chapter 1". Tambahnya, dia ingin memastikan lagak aksi dalam "Mumbai Saga" kekal kelihatan asli tanpa menggunakan pembantu.

Menerusi filem itu, John akan menggalas watak seorang gengster, yang memerlukannya melakukan kombat, menggunakan senjata api serta aksi kejar mengejar menaiki motosikal.

Berlatarbelakangkan tahun 1980-an di Mumbai, filem itu turut menampilkan barisan aktor hebat seperti Emraan Hashmi, Anil Kapoor, Kajal Aggarwal, Suniel Shetty, Gulshan Grover, Rohit Roy dan Mahesh Majrekar.

Diterbitkan oleh Bhushan Kumar, filem "Mumbai Saga" bakal menggegarkan pawagam pada 19 Jun 2020.

(Sumber foto: Voompla Pinterest)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 13 Disember 2019


Showtimes