Buletin

Josiah Hogan terima tawaran filem Hollywood

Penulis: Nisa Irina


Josiah Hogan beranggapan filem Hollywood mampu berjaya walaupun tidak ada adegan negatif.

10 Sep – Impian Josiah Hogan untuk berlakon dalam filem antarabangsa menjadi kenyataan selepas dia bersetuju untuk menerima tawaran bagi sebuah filem Hollywood.

"Saya dimaklumkan pengarahnya biasa bekerja di industri filem Hollywood. Saya juga belum dimaklumkan siapa pelakon yang akan membawa watak utama.

"Saya pula akan menjayakan watak pembantu dan berharap peluang ini bakal membuka laluan ke tahap lebih jauh.

"Saya memang bercita-cita untuk berlakon di Hollywood dan berharap pintu rezeki itu terbuka dengan pembabitan dalam produksi ini," katanya yang dipetik dari Harian Metro.


Buat pengetahuan lanjut, pada mulanya Josiah terpaksa menolak tawaran itu selepas mendapat tahu bahawa dia perlu melakonkan adegan negatif dalam filem tersebut.

Lantaran itu, syarikat produksi bersetuju untuk mengubah wataknya serta tidak akan memberikan sebarang watak berkenaan kepada pelakon filem "KL Special Force" itu.

Bagaimanapun, buat masa ini, sebarang maklumat lanjut dan skrip filem masih belum diterimanya.

Dalam perkembangan lain, Josiah bakal membintangi sebuah filem bertemakan seni bela diri 'Mixed Martial Arts' (MMA) berjudul "Wira", yang turut menampilkan pelakon Hairul Azreen sebagai watak utama.

Selain itu, dia juga akan tampil dalam filem "KL Vampires" arahan Daven R. Filem itu turut dibintangi pelakon lain seperti Raja Ilya, Reen Rahim, Aeril Zafril dan Pablo Amirul.

(Sumber foto: Josiah Hogan Instagram)

Cinema Online, 10 September 2019


Related Movies:
KL Special Force (Malay) (08 Mar 2018)
Showtimes