Buletin

Kangana Ranaut tambah berat badan demi "Thalaivi"

Penulis: Nisa Irina

Kangana Ranaut perlu kelihatan persis Jayalalithaa dalam filem "Thalaivi".
Kangana Ranaut perlu kelihatan persis Jayalalithaa dalam filem "Thalaivi".

29 Nov – Aktres berbakat Kangana Ranaut sanggup melakukan apa sahaja untuk menjayakan watak Ketua Menteri Tamil Nadu, J. Jayalalithaa menerusi filem biografi "Thalaivi" arahan AL Vijay.

Jika sebelum ini Kangana perlu mempelajari bahasa Tamil dan menjalani sesi solekan prostetik, kini aktres itu dilaporkan telah menambah berat badannya sebanyak 6 kg dengan pengambilan pil hormon.

"Ia diperlukan supaya tubuh saya kelihatan lebih montok, terutamanya di bahagian perut dan paha. Memandangkan saya tinggi dan kurus, dan muka saya berpetak, saya terpaksa mengambil pil hormon dalam dos yang sederhana bagi kelihatan berbeza.

"Sudah tentu juga, saya mula mengambil pemakanan seimbang serta yang boleh menambah berat badan, dedah Kangana yang dipetik dari laporan NDTV.

Menurut aktres itu lagi, kebiasaannya aktor mampu menggayakan pakaian dan penampilan dengan bagus tetapi bukan rupa paras, dan pengarah ingin dia kelihatan seiras Jayalalithaa sebaik mungkin.


"Jayalalithaa mengalami perubahan fizikal yang drastik dalam hidupnya. Membesar sebagai penari Bharatanatyam, dia perlu mempunyai bentuk tubuh yang sesuai.

"Kemudian apabila dia menyertai politik, dia terlibat dengan satu kemalangan yang menyebabkan dia terpaksa disuntik steroid dengan dos yang tinggi," ujar Kangana.

Baru-baru ini Kangana telah mendedahkan penampilan barunya bagi filem itu menerusi laman sosial dan ia telah menerima pelbagai reaksi dan komen daripada warganet.

Filem "Thalaivi" akan dirilis dalam versi Hindi, Tamil dan Telugu dengan judul yang berbeza di pawagam pada 26 Jun 2020.

(Sumber foto: Kangana Ranaut Instagram)
(Sumber artikel: NDTV)

Cinema Online, 29 November 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes