Buletin

Parineeti Chopra tak sabar mahu beraksi di gelanggang badminton

Penulis: Ashraf Nasser

Parineeti Chopra sangat komited untuk pastikan wataknya sebagai jaguh badminton India dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Parineeti Chopra sangat komited untuk pastikan wataknya sebagai jaguh badminton
India dapat dilaksanakan dengan sempurna.

29 Nov – Aktres Parineeti Chopra tak sabar untuk kembali beraksi di gelanggang badminton untuk penggambaran filem biopik terbarunya berjudul "Saina".

Terdahulu, aktres yang akan menjayakan watak utama sebagai pemain nombor satu India iaitu Saina Nehwal itu terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan leher ketika melakukan latihan badminton.

"Ya, saya sudah 100 peratus sihat dan saya tidak sabar untuk masuk ke gelanggang badminton dan bermain semula!

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada tenaga produksi "Saina" atas sokongan tidak berbelah bahagi dan pasukan medik yang berjaya memulihkan saya dalam tempoh singkat," ujarnya yang dipetik dari Times of India.

Pada masa sama Parineeti juga berkata dia sudah bersedia untuk jalani penggambaran yang mencabar di mana dia perlu bermain badminton selama lapan jam.


Dalam pada itu, satu sumber terdekat turut berkata aktres itu sudah pulih sepenuhnya dan tidak sabar untuk mempamerkan kehebatannya bermain badminton di hadapan kamera.

Terdahulu Parineeti mengalami kecederaan leher yang memaksanya untuk berehat lebih 10 hari untuk pulih.

Ramai yang memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh aktres ini apabila dia juga sanggup berkampung di sebuah kompleks sukan sepanjang penggambaran untuk memastikan dia sentiasa dapat berlatih bagi memberikan lakonan mantap.

Filem arahan Amole Gupte ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Manav Kaul, Paresh Rawal, Karan Johar dan ramai lagi.

"Saina" dijadualkan akan menemui penonton pada 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Parineeti Chopra Instagram)

Cinema Online, 29 November 2019


Showtimes