Buletin

Pembikin filem teruskan rancangan tayang "Lootcase" di pawagam

Penulis: Nisa Irina


Pembikin filem "Lootcase" bakal umumkan tarikh baru bagi tayangannya.

10 Okt – Jika minggu lalu pembikin filem "Lootcase" bercadang untuk membatalkan tayangan filem itu di pawagam, kini mereka telah menarik semula keputusan tersebut.

"Ia merupakan keputusan pihak pengurusan. Filem itu akan ditayangkan di pawagam kemudian di portal penstriman video dan seterusnya di televisyen.

"Walau bagaimanapun, filem itu tidak akan dirilis pada 11 Oktober seperti mana yang dirancang. Ia akan ditayangkan pada tarikh baru, kemungkinan selepas Diwali," dedah satu sumber yang dipetik dari Bollywood Hungama.


Tambah sumber terdekat itu lagi, tarikh baru bagi tayangan filem arahan Rajesh Krishnan itu bakal diumumkan kelak.

Menurut laporan yang sebelumnya, pembikin filem dari syarikat produksi Fox Star Studios itu merancang "Lootcase" hanya akan ditayangkan menerusi sebuah portal penstriman video terkenal.

Perkara itu berikutan mereka gusar jika filem itu tidak mendapat sambutan kerana persaingan filem-filem besar seperti "War", "Joker" dan "The Sky Is Pink" serta tidak mahu menanggung kerugian seperti filem "The Zoya Factor".

"Lootcase" berkisar mengenai seorang lelaki yang menjumpai sebuah bagasi penuh dengan wang. Dalam pada dia percaya wang itu boleh menyelesaikan masalahnya, bagasi tersebut turut menjadi buruan tiga orang individu lagi.

Filem itu dibintangi oleh Kunal Kemmu sebagai peneraju utama, di samping pelakon lain seperti Rasika Dugal, Gajraj Rao, Vijay Raaz dan Ranvir Shorey.

(Sumber foto: Fandago)

(Sumber artikel: Bollywood Hungama)

Cinema Online, 10 Oktober 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes