Buletin

Priyanka Chopra ingin galas watak James Bond

Penulis: Nisa Irina


Priyanka Chopra kini sibuk mempromosikan filem "The Sky Is Pink".

10 Okt – Aktres Priyanka Chopra Jonas mendedahkan bahawa dia berkeinginan untuk melihat watak ejen perisik wanita diutamakan menerusi francais filem "James Bond".

Disoal mengenai siapa di antara aktres yang sesuai untuk menggalas watak terkenal itu, Priyanka berpendapat dirinya juga salah seorang calon yang terbaik.

"Saya selalu teringin untuk membawa watak James Bond tetapi sememangnya saya tidak boleh sertai kelompok itu.


"Saya rasa sudah tiba masanya kita diperkenalkan dengan seorang ejen Bond wanita. Tidak kisah sama ada saya ataupun orang lain, ia adalah perkara yang saya nantikan," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Dalam pada itu, Priyanka kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaru arahan Shonali Bose, "The Sky Is Pink", bersama aktor Farhan Akhtar.

Filem yang diinspirasikan dari kisah benar itu menampilkan Priyanka dan Farhan sebagai pasangan suami isteri yang sanggup berkorban apa sahaja demi menyediakan penjagaan perubatan buat anak mereka yang menghidap penyakit kekurangan imun dalam badan.

"The Sky Is Pink" bakal ditayangkan di pawagam mulai 11 Oktober ini.

(Sumber foto: Reddit)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 10 Oktober 2019


Showtimes