Buletin

Riz Ismail ubah penampilan demi filem "Ada Apa Dengan Dosa"

Penulis: Nisa Irina


Riz Ismail teruja nantikan tayangan filem islamik "Ada Apa Dengan Dosa" pada Oktober depan.

3 Jun – Setelah beberapa kali berlakon dalam drama, Pencetus Ummah (PU) dan pelakon Riz Ismail bakal tampil dalam filem pertama lakonannya berjudul "Ada Apa Dengan Dosa".

Menurut laporan yang dipetik dari mStarOnline, Riz memberitahu bahawa dia perlu membuat beberapa perubahan demi penampilannya dalam filem tersebut.

Riz atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd Ismail berkata dia perlu mengamalkan diet selama dua bulan demi menurunkan berat badan dan kelihatan kurus dalam filem itu.

Selain itu, dia turut mengakui bahawa berasa kurang selesa apabila perlu menggayakan seluar yang agak ketat semasa penggambaran filem di United Kingdom pada beberapa bulan lalu.

"Saya kena ubah gaya pemakaian. Awal-awal saya datang lokasi penggambaran, saya bawa baju-baju yang saya biasa pakai tapi semuanya kena 'reject'!"


"Rambut pun mereka potong ikut stail yang saya tak pernah gayakan sebelum ini tapi yang paling saya tak boleh lupa apabila terpaksa pakai seluar yang ketat", luah pelakon drama "Lelaki Kiriman Tuhan" ini.

Pelakon berusia 24 tahun itu memberitahu bahawa pihak produksi ingin mengubah penampilannya untuk memberi kelainan terhadap imej pendakwah moden.

Bagaimanapun, Riz bersyukur kerana semua kerjanya berjalan lancar walaupun penampilannya itu dianggap cabaran sepanjang penggambaran filem itu.

Baru-baru ini, sebuah majlis berbuka puasa dan pelancaran filem "Ada Apa Dengan Dosa" itu diadakan di Halaman Shah Alam.

Menerusi filem bercorak islamik terbitan Pencil Pictures tersebut, Riz akan digandingkan bersama pelakon Ashraf Muslim serta penyanyi Wanna Ali sebagai peneraju utama.

Filem "Ada Apa Dengan Dosa" dijangka akan menemui penonton di pawagam pada awal Oktober depan.

(Sumber foto: Riz Ismail Instagram)

Cinema Online, 3 Jun 2019


Showtimes