3 Dis– Nama The Sacred Riana bukanlah asing di mata dunia selepas dia mencipta nama sebagai pemenang "Asia's Got Talent" musim kedua sebagai ahli silap mata seram yang juga merupakan pakar ilusi. Tampil dengan imej seperti hantu, The Sacred Riana atau nama sebenarnya Marie Antoinette Riana Graharani, telah menarik minat penerbit filem di Indonesia iaitu Nant Entertainment untuk menghasilkan filem "The Sacred Riana: Beginning".
Dalam pada itu, salah seorang pelakon utama dalam filem itu iaitu Aura Kasih mengakui berasa pelik pada mulanya apabila perlu berlakon dengan seseorang tanpa bercakap sebelum penggambaran. "Pertama kali saya bertemu dengannya, saya ada ucapkan 'hi' tetapi tidak dibalas dan ketika itu saya berasa pelik. Bagaimanapun lama kelamaan saya sudah terbiasa dan sekiranya kami ingin berbincang saya akan bercakap dengan pengurusnya kerana The Sacred Riana hanya akan berkomunikasi dengan pengurus sekiranya dia ingin sampaikan sesuatu." Selain Aura, filem arahan Billy Christian ini turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Agatha Chelsea, Prabhu Revolusi, Citra Prima, Alif Brooklyn dan ramai lagi. "The Sacred Riana: Beginning" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 12 Disember ini.