Buletin

Tiger Shroff belajar seni bela diri ketenteraan untuk "Baaghi 3"

Penulis: Nisa Irina


Tiger Shroff bakal kembali dalam "Baaghi 3" dengan lebih banyak lagak aksi ngeri.

12 Jul – Aktor Tiger Shroff bakal berangkat ke Israel bagi menjalani latihan seni bela diri ketenteraan dan sistem Krav Maga sebagai persiapannya untuk berlakon dalam "Baaghi 3".

Krav Maga adalah seni bela diri yang diperkenalkan khas untuk Angkatan Tentera Israel dan pengawal keselamatan di sana. Ia merupakan hasil kombinasi daripada beberapa teknik seperti tinju, gusti, aikido, judo, karate dan 'realistic fighting'.

"Tiger akan berada di sana selama lapan hingga 10 hari dan dia amat teruja untuk menjalani latihan tersebut. Dia merupakan seorang yang sentiasa bersedia.

"Kami tidak mempunyai lokasi yang lebih terperinci dan akan menjalankan penggambaran di Georgia, Turki dan Serbia," ujar pengarah "Baaghi 3", Ahmed Khan dalam laporan IndiaToday.

Tambah pengarah itu lagi, selepas Israel, Tiger akan berangkat ke Georgia untuk berlatih menggunakan 'machine gun', pistol, senapang dan pelbagai senjata lain.


Di samping itu, pihak produksi juga akan membina set penggambaran serta akan menjalankan penggambaran di India. Lokasi penggambaran akan ditetapkan pada minggu ini.

Ahmed baru sahaja kembali ke Mumbai dari Agra di mana dia telah memilih beberapa lokasi untuk penggambaran filem aksi tersebut yang akan bermula pada hujung Ogos depan sebelum Tiger berangkat ke Israel.

Siri ketiga filem itu akan menyatukan semula Tiger bersama Shraddha Kapoor dan akan menampilkan lebih banyak adegan aksi di mana aktor tersebut perlu terjun dari curam tinggi dan bangunan pencakar langit.

Dalam perkembangan lain, Tiger kini sedang menjalani penggambaran sebuah lagi filem aksi bersama Hrithik Roshan dan ura-ura mengatakan ia diberi judul "Fighters".

Bagaimanapun, pembikin filem masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai judul filem di bawah arahan Siddharth Anand tersebut.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: Tiger Shroff Instagram)

Cinema Online, 12 Julai 2019


Showtimes