Buletin

Shah Rukh Khan bakal bintangi filem komik aksi thriller

Penulis: Nisa Irina


Shah Rukh Khan sudah lama berkeinginan untuk berlakon dalam filem aksi hebat.

4 Dis – Jika sebelum ini bintang terkenal Shah Rukh Khan memberitahu dia ingin berehat dari lakonan buat sementara, kini dia dilaporkan akan membintangi sebuah filem inspirasi komik aksi thriller pada tahun hadapan.

"Shah Rukh Khan telah menandatangani projek filem aksi itu selepas dia didedahkan dengan skrip tidak lama dahulu oleh kedua-dua pengarah. Dia sangat berminat dengan jalan cerita filem ini.

"Penggambaran akan bermula pada tahun hadapan di lokasi eksotik India dan luar negara. Filem ini merupakan genre yang tidak pernah diterokai oleh Shah Rukh Khan sebelum ini," dedah satu sumber terdekat menerusi laporan Mumbai Mirror.

Tambah sumber itu lagi, filem tersebut akan diterbitkan oleh Shah Rukh Khan sendiri. Pihak produksi juga akan mempertanggungjawabkan sekumpulan pakar aksi lagak ngeri antarabangsa untuk mereka babak aksi dalam filem.

"Raj dan DK kini sedang memberi sentuhan terakhir untuk skripnya. Kemudian, mereka akan menetapkan lokasi penggambaran serta barisan pelakon, termasuk seorang aktres terkenal sebagai peneraju wanita utama," katanya.

Biarpun judul filem dan butiran lanjut belum didedahkan buat masa ini, para pembikin telah pun mensasarkan tahun 2021 untuk ia ditayangkan di pawagam.

Dalam pada itu, Shah Rukh Khan telah pun menjalani penggambaran bagi filem fantasi "Brahmastra" lakonan bintang veteran, Amitabh Bachchan, di mana dia akan tampil sebagai watak 'cameo' penting.

(Sumber foto: Irish Mirror)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 4 Disember 2019


Showtimes