Buletin

Tiger Shroff perlu gandakan aksi dalam "Baaghi 3" selepas "War"

Penulis: Nisa Irina


Pembikin filem perlu berfikir lebih jauh mengenai seni bela diri yang bakal
Tiger Shroff bawakan dalam "Baaghi 3".

10 Okt – Filem "War" yang baru-baru ini berjaya mencapai kutipan pecah panggung selepas hampir seminggu tayangan membuatkan pembikin filem ingin meningkatkan tahap aksi "Baaghi 3" ke arah lebih tinggi.

Kedua-dua filem itu menyaksikan aktor Tiger Shroff sebagai protagonis dan penanda aras bagi babak aksinya dalam filem "Baaghi 3" perlu dipertingkatkan lagi.

"Tanpa ragu-ragu lagi ia memang satu masalah. Pembikin filem berhasrat untuk meningkatkan penanda aras babak aksi Tiger dalam "Baaghi 3" tetapi kini tahap itu telah tercapai.

"Pembikin filem juga telah membatalkan perancangan untuk menghantar Tiger ke Israel bagi mempelajari seni bela diri Krav Maga kerana ia hampir serupa seperti yang ditunjukkan dalam "War"," dedah satu sumber terdekat.


Seperti yang dilaporkan menerusi DNA India, mereka kini perlu berfikir lebih jauh serta mencari sesuatu yang lebih menarik dan di luar jangkaan penonton.

Dalam pada itu, Tiger juga mengakui dia berasa gementar apabila memikirkan jangkaan peminat terhadap prestasinya yang bakal ditunjukkan dalam filem ketiga dalam francais "Baaghi" tersebut.

"Saya bukan sahaja perlu bersaing dengan "Mission Impossible" dan "Avengers", tetapi juga diri saya sendiri. Saya dijangkakan untuk meningkatkan tahap aksi dalam setiap filem," katanya.

Tambah Tiger lagi, ia merupakan satu cabaran buatnya tetapi cabaran yang dialu-alukan untuk mencabar tahap kemampuan diri.

"Baaghi 3", yang diarahkan oleh Ahmed Khan, turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Riteish Deshmukh dan Shraddha Kapoor. Filem itu dijangka bakal dirilis pada 6 Mac 2020.

(Sumber foto: Deccan Chronicle)

(Sumber artikel: DNA India)

Cinema Online, 10 Oktober 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes