Buletin

Varun Dhawan alami detik cemas di set penggambaran "Coolie No 1"

Penulis: Nisa Irina

Varun Dhawan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Varun Dhawan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

28 Nov – Nasib aktor Varun Dhawan baik apabila dia hampir mengalami kemalangan maut apabila pintu kereta yang digunakan ketika sesi penggambaran filem "Coolie No 1" tidak boleh dibuka.

Ketika kejadian, difahamkan Varun sedang memfilemkan babak aksi lagak ngeri secara dekat, di mana badan kereta itu tergantung di tepi gaung di kawasan pinggir bandar Pune.

"Selesai penggambarannya, Varun mendapati pintu kereta itu tidak boleh dibuka. Walaupun latihan bagi aksi lagak ngeri itu telah dilakukan beberapa kali di bawah pengawasan pakar dan semua pencegahan kemalangan telah dipastikan oleh pengarah, malangnya ia masih berlaku.


"Apa yang berlaku beberapa minit selepas itu adalah pakar-pakar aksi lagak ngeri cuba mengeluarkan dia dari kereta. Agak sukar memandangkan kereta yang tergantung di tepi gaung itu tidak stabil," dedah satu sumber terdekat.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, Varun dilihat masih mampu bertenang dalam situasi cemas itu dan berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Beberapa bulan lalu, pihak produksi turut berdepan situasi sama apabila set penggambaran "Coolie No 1" di bandar Mumbai terbakar, namun tiada yang tercedera.

"Coolie No 1" merupakan 'remake' kepada filem arahan David Dhawan pada tahun 1995 yang sama judulnya. Selain Varun, filem itu turut menampilkan Sara Ali Khan, Paresh Rawal, Rajpal Yadav dan Johnny Lever.

Diterbitkan oleh Vashu Bhagnani, filem komedi "Coolie No 1" akan menemui penonton di pawagam pada 1 Mei 2020, bersamaan dengan Hari Buruh Sedunia.

(Sumber foto: Varun Dhawan Instagram)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Cinema Online, 28 November 2019


Showtimes