Buletin

Vidyut Jammwal lebih selesa jadi bintang filem aksi

Penulis: Nisa Irina

Vidyut Jamwal akan bintangi filem aksi "Commando 3".
Vidyut Jammwal akan bintangi filem aksi "Commando 3".

26 Nov – Bakal tampil sebagai peneraju utama filem ketiga dalam francais "Commando", aktor Vidyut Jammwal memberitahu bahawa dia akan meneruskan kariernya sebagai bintang filem aksi pelbagai genre.

"Saya berada di tangga keenam dalam carta 10 artis seni bela diri terbaik di dunia dan telah mendapat pengiktirafan atas kerja saya.

"Saya ingin satu dunia tahu bahawa terdapat hero filem aksi dari India, yang mampu menjayakan seni bela diri India asli. Saya adalah wakil kepada negara saya.

"Selain itu, saya juga teringin untuk melibatkan diri dalam filem aksi komedi dan aksi romantik. Saya akan terus melakukan filem aksi sepanjang hidup saya," katanya yang dipetik dari Times of India.

Bercakap mengenai penglibatannya dalam francais "Commando", Vidyut mengakui dia berasa sedikit tertekan untuk mencapai jangkaan tinggi penonton bagi filem "Commando 3".


Menurut Jamwal lagi, dia akan memberi kejutan kepada para penonton dengan melakukan aksi lagak ngeri yang lebih mencabar berbanding filem-filem yang sebelumnya, tanpa menggunakan sebarang peralatan keselamatan.

"Commando 3" merupakan sebuah filem aksi thriller arahan Aditya Datt yang turut menampilkan aktor lain seperti Adah Sharma dan Gulshan Devaiah serta aktres yang membuat debut Bollywood, Angira Dhar.

Filem itu merupakan sekuel kepada filem "Commando 2: The Black Money Trail" ditayangkan pada 2017. Diterbitkan oleh Vipul Amrutlal Shah, "Commando 3" akan menggegarkan pawagam bermula 29 November ini.

(Sumber foto: Wallpaper Cave)
(Sumber artikel: Times of India)

Cinema Online, 26 November 2019



Pautan Berkaitan:
Showtimes