Rencana

Kpop Idol yang sedang mencipta nama sebagai pelakon

Penulis: Nisa Irina

Adakah Kpop idol kegemaran anda berada dalam senarai ini?
Adakah Kpop idol kegemaran anda berada dalam senarai ini?

Kpop idol yang memperluaskan karier mereka dalam bidang lakonan bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ada di antara mereka yang sanggup meninggalkan kumpulan mereka hanya untuk memberi fokus terhadap minat dalam bidang lakonan berbanding muzik. Segelintir idol yang mana kumpulan mereka sudah berpecah turut menjadi pelakon memandangkan bidang itu sangat luas di Korea Selatan.


Salah satu lagi faktor mengapa idol memilih untuk bertukar bidang adalah kerana karier sebagai pelakon menjaminkan jangka masa panjang berbanding sebagai Kpop idol yang terikat dengan kontrak sekurang-kurangnya tujuh tahun. Walau bagaimanapun, ramai idol dilihat cemerlang dalam kedua-dua bidang atas komitmen mereka yang tinggi serta bijak mengatur masa.

Tidak dinafikan memang ramai idol senior yang sudah berjaya dalam bidang lakonan sejak dahulu lagi. Antaranya ialah Siwon (Super Junior), T.O.P. (BIGBANG), Yoona (Girls' Generation), Minho (SHINee), Suzy (APINK) dan Kim Hyun-joong (SS501). Kali ini kami ingin senaraikan beberapa idol junior yang sedang mengukuhkan nama dalam dunia lakonan!

IU

Selain aktif dalam bidang muzik, IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun juga bergelar bintang Kdrama kerana sering muncul dalam drama-drama popular sejak debutnya menerusi drama "Dream High" pada 2011. Namun selepas dua tahun berlakon, IU berehat sementara dari bidang lakonan sebelum membuat kemunculan semula menerusi drama paling dinanti-nanti ramai iaitu "The Producers" (2015) dan "Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo" (2016).

Bakat lakonan IU yang dibanggakan serta dipuji para peminat juga terserlah di layar perak, di mana dia muncul sebagai penampilan cameo dalam filem "Real" dan membawa watak sampingan menerusi "Shades of the Heart". Kini para peminat tidak sabar menantikan gandingan IU dan aktor terkenal Park Seo Joon sebagai watak utama dalam filem terbaru mereka, "Dream", yang bakal tayang tidak lama lagi!

V (BTS)

Idol yang berada di tangga nombor satu dalam senarai 10 Lelaki Terkacak Dunia 2020 adalah tidak lain tidak bukan, Kim Tae-hyung atau lebih mesra disapa V dari anggota kumpulan Kpop terkemuka, BTS. Selepas berjaya membuat debut sebagai penyanyi pada 2013, V mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan selepas ditawarkan watak sampingan bernama Seok Han-sung, dalam drama "Hwarang: The Poet Warrior Youth" pada 2016.

Menerusi drama itu jugalah V mula berkawan baik dengan aktor terkenal Park Seo Joon dan Park Hyung Sik. Sedikit fakta menarik, oleh sebab V terlalu sibuk dengan BTS, pengarah terpaksa mematikan watak Han-sung pada episod ke-18. Malah, selepas menjayakan "Hwarang", V mendedahkan dia telah menerima banyak tawaran berlakon, namun terpaksa menolaknya memandangkan fokusnya kini lebih kepada BTS.

Jisoo (BLACKPINK)

Sebelum ini, ramai yang berpendapat bahawa wajah Kim Ji-soo, atau Jisoo dari kumpulan Kpop wanita terkenal BLACKPINK, sesuai untuk ditampilkan sebagai pelakon. Anggota kumpulannya yang lain turut bersetuju dengan kenyataan itu. Akhirnya impian para peminat tercapai apabila Jisoo membuat penampilan cameo dalam drama "The Producers", "Part-Time Idols" dan "Arthdal Chronicles".

Bakat lakonan Jisoo juga tidak disia-siakan begitu sahaja apabila dia ditawarkan untuk membintangi sebuah drama baru berjudul "Snowdrop" tidak lama lagi. Apa yang menggembirakan para peminat adalah Jisoo dipilih untuk menggalas watak utama buat pertama kali!

D.O. (EXO)

Biarpun dia membuat debut sebagai vokalis utama kumpulan EXO pada 2012, namun D.O. lebih dikenali sebagai seorang aktor, menggunakan nama sebenarnya Do Kyung-soo. Idol berbakat ini bukan hanya mempunyai suara lunak apabila menyanyi, tetapi juga berjaya memukau peminat dengan lakonannya yang asli. Ternyata usaha D.O. tidak sia-sia kerana dia berjaya merangkul pelbagai anugerah berprestij di Korea Selatan.

Pada 2014, D.O. mencuri perhatian ramai apabila menjayakan drama "It's Okay, That's Love" walaupun hanya memegang watak sampingan hingga dia layak menjuarai Anugerah Seni Baeksang ke-51 sebagai Aktor Baru Terbaik. Selepas membintangi beberapa drama, D.O. akhirnya ke layar perak menerusi filem "Cart" pada 2014, dan kini dia telah membintangi lapan buah filem termasuk "My Annoying Brother" dan "Room No. 7".

Chanyeol (EXO)

Park Chan-yeol atau Chanyeol juga merupakan anggota kumpulan EXO yang bertindak sebagai penyanyi rap dan vokalis utama. Dilabel sebagai seorang idol yang merendah diri dan bekerja keras, Chanyeol juga pernah menyambung pengajian di sebuah sekolah lakonan swasta sebelum membuat debut dalam bidang muzik pada 2012. Setelah membintangi beberapa drama bersiri, Chanyeol berjaya membawa bakatnya ke layar perak.

Bermula dengan debut sebagai watak sampingan dalam filem "Salut D'Amour", Chanyeol kemudiannya dipilih sebagai peneraju utama filem romantik bahasa Cina, "So I Married an Anti-Fan", di mana dia digandingkan dengan anggota kumpulan Girls' Generation, Seohyun. Pada Julai lalu, para peminat dikejutkan dengan berita gembira apabila Chanyeol dilaporkan bakal membintangi filem Korea pertamanya sebagai peneraju utama! Filem yang diberi judul "The Box" itu dijangka tayang pada 2021.

Irene (Red Velvet)

Ketua kumpulan Red Velvet, Irene atau nama sebenarnya Bae Joo-hyun, mula mengikut jejak langkah anggota kumpulannya, Joy, untuk menceburi bidang lakonan. Terdahulu, Irene pernah membuat penampilan cameo menerusi drama kegemaran ramai, "Descendants of the Sun" dan kemudiannya memegang watak utama buat pertama kali dalam "Women at a Game Company".

Berita gembira buat para peminat adalah apabila baru-baru ini Irene dilaporkan akan membuat debut di layar perak dalam filem "Double Patty" arahan pengarah terkenal Baek Seung-hwan. Menerusi filem itu, Irene digandingkan dengan aktor baru Shing Seung-ho yang juga akan muncul buat pertama kali di layar perak.

Hyungwon (Monsta X)

Chae Hyung-won, atau lebih terkenal dengan nama Hyungwon, adalah salah seorang anggota kumpulan Monsta X. Pertama kali Hyungwon memperluaskan bakatnya sebagai pelakon adalah pada 2017 menerusi watak sampingan bagi drama "Please Find Her". Ketika itu, Hyungwon sibuk membahagikan masa untuk menyanyi, berlakon dan menjadi DJ.

Walau bagaimanapun, sebelum menjayakan watak utama bagi "Please Find Her", Hyungwon pernah menjadi pelakon jemputan dalam drama "High-end Crush", drama Cina "Hello Mr. Right" dan "Bad Papa". Terbaru, Hyungwon tampil dalam drama bersiri Jepun yang ditayangkan di Netflix berjudul "Followers", sebagai watak cameo.

Jinyoung (GOT7)

Karier lakonan Park Jin-young, atau Jinyoung, bermula sejak dia menjadi pelatih di JYP Entertainment lagi. Sebelum membuat debut sebagai idol dalam kumpulan GOT7 pada 2014, Jinyoung muncul sebagai pelakon menerusi drama "Dream High 2" dan "When a Man Loves". Penglibatannya sebagai anggota GOT7 menjadikan Jinyoung semakin mengecapi populariti apabila dia mula menerima beberapa tawaran berlakon dalam siri drama seperti "This Is My Love" dan "The Legend of the Blue Sea".

Mengakui mempunyai minat mendalam terhadap lakonan, Jinyoung juga berjaya membuat debut di layar perak menerusi filem "A Stray Goat". Jika idol lain merebut watak yang lebih kurang sama dengan imej mereka di atas pentas, lain pula dengan Jinyoung yang berani mencuba watak gelap dalam filem tersebut. Tahun ini, Jinyoung akan kembali ke layar perak dengan filem aksi thriller "The Angel Without, The Devil Within" yang dijangka tayang pada Disember.

Cinema Online, 26 September 2020


Showtimes