Buletin

"Sembilan" dan "Do[s]a" kini boleh ditonton di GoPlay

Penulis: Nisa Irina

"Sembilan" dan "Do[s]a" menggabungkan pelakon-pelakon hebat Malaysia, Indonesia dan Singapura.
"Sembilan" dan "Do[s]a" menggabungkan pelakon-pelakon hebat Malaysia, Indonesia dan Singapura.

2 Jul – Dua drama bersiri Astro Original Series terbitan kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia iaitu "Sembilan" dan "Do[s]a" kini boleh ditonton menerusi portal penstriman video berbayar Indonesia, GoPlay, bersempena Festival Filem dan Siri Dalam Talian GoPlay.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kolaborasi bersama GoPlay membuka peluang untuk pihak Astro menayangkan siri "Sembilan" dan "Do[s]a" kepada para penonton baru di Indonesia.

"Kedua-dua siri ini membabitkan kru yang terkenal di serata Nusantara seperti Remy Ishak (Malaysia), arwah Ashraf Sinclair (Malaysian berpengkalan di Jakarta), Atiqah Hasiholan dan Salman Aristo (Indonesia), serta Hisham Hamid (Singapura).


"Semestinya kami pantas bersetuju apabila dihubungi pihak GoPlay dan gembira kerana dapat sama-sama terlibat dalam usaha mereka untuk membantu industri.

"Kami berharap para penonton di Indonesia akan menikmati "Do[s]a" dan "Sembilan" bersempena dengan festival ini. Kami berharap agar ia dapat mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan GoPlay untuk terus memaparkan karya kontemporari untuk tontonan di rantau ini," ujarnya yang dipetik dari TV Asia.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pemasaran GoPlay, Sasha Sunu berkata, pihak mereka teruja kerana dapat mempersembahkan "Do[s]a" dan "Sembilan", yang menampilkan kolaborasi hebat bakat-bakat dari Indonesia dan Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa industri perfileman Indonesia sudah mencapai kemampuan untuk menghasilkan karya-karya berkualiti bertaraf antarabangsa," katanya.

Salah seorang pelakon utama "Sembilan", Beto Kusyairy, sempat mempromosikan drama bersiri itu kepada para peminatnya di Indonesia menerusi laman Twitter.

"Sembilan" merupakan drama bersiri seram Nusantara arahan pengarah filem "Pusaka", Razaisyam Rashid, menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Atiqah Hasiholan dan pelakon cilik Bima Azriel.

"Do[s]a" yang diarahkan oleh Ifa Isfansyah pula menggabungkan pelakon hebat dari tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Datuk M Nasir, Remy Ishak , Daniella Sya, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama Tegar Satrya , Shenty Feliziana serta Hisyam Hamid.

(Sumber foto: IMDb & TV Asia)

Cinema Online, 2 Julai 2020


Showtimes