Buletin

Alia Bhatt sambung penggambaran "Gangubai Kathiawadi" selepas Perintah Berkurung?

Penulis: Nisa Irina

Alia Bhatt membawa watak Ratu Mafia bernama Gangubai Kathiawadi.
Alia Bhatt membawa watak Ratu Mafia bernama Gangubai Kathiawadi.

30 Mei – Filem "Gangubai Kathiawadi" diterajui oleh aktres Alia Bhatt berkemungkinan menjadi filem Bollywood pertama yang akan menyambung sesi penggambaran sejurus sahaja Perintah Berkurung berakhir.

"Sanjay Leela Bhansali (penerbit dan pengarah) telah pun melangsungkan penggambaran di Filmcity dan set penggambarannya masih berada di sana.


"Jadi kemungkinan filemnya akan menjadi yang pertama untuk menyambung penggambaran dengan langkah berjaga-jaga, sebaik sahaja ia mendapat kebenaran daripada Ketua Menteri.

"Ramai pembikin filem yang mengekalkan set penggambaran mereka, sementara menantikan waktu sesuai untuk menyambung penggambaran selepas tamat Perintah Berkurung," ujar Setiausaha Agung Persekutuan Pekerja Cine India Barat (FWICE), Ashok Dubey, yang dipetik dari Eastern Eye.

Terdahulu, Sanjay dikatakan ingin merobohkan set penggambarannya untuk mengurangkan kos sewa yang mahal dan membina set baru dengan kos yang lebih rendah.

Sehingga kini, pihak produksi masih belum memaklumkan tarikh tayangan baru bagi filem berkenaan, di mana pada asalnya mereka telah menetapkan tarikh tayangan pada 11 September 2020.

"Gangubai Kathiawadi" merupakan sebuah filem biopik jenayah mengenai Ratu Mafia dan 'ibu ayam' bagi sebuah rumah pelacuran, yang mana wataknya akan dijayakan oleh Alia.

Selain Alia, filem itu turut dibintangi pelakon-pelakon lain seperti Shantanu Maheshwari, Vijay Raaz, Mohammed Samad, Seema Pahwa dan Bajrangbali Singh.

(Sumber: Eastern Eye)
(Sumber foto: Pinterest & IMDB)

Cinema Online, 30 Mei 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes