Buletin

Anushka Sharma akan terus terbitkan karya-karya berkualiti

Penulis: Nisa Irina

 Anushka Sharma dilihat semakin selesa bergelar penerbit.
Anushka Sharma dilihat semakin selesa bergelar penerbit.

5 Jun – Aktres Anushka Sharma memberitahu kariernya sebagai seorang bintang filem Bollywood memberi peluang untuk dia menerbitkan karya-karya dan bakat unik seperti siri web terbarunya "Paatal Lok".

Melihat kepada maklum balas orang ramai yang rata-ratanya positif mengenai siri terbitannya itu, Anushka berkata ia hanyalah permulaan untuknya menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan baru.

Malah aktres filem "Zero" itu berani untuk mempertaruhkan jalan cerita yang lebih gelap seperti filem pertama yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya Clean Slate Films berjudul "NH10".


"Saya sering tertarik dengan kisah-kisah berbeza yang berlaku di sekeliling kita di seluruh dunia. Saya ingin sampaikan ia menerusi cerita.

"Karnesh dan saya percaya yang kandungan adalah segalanya. Perkara yang paling mengujakan sebagai seorang penerbit dan orang kreatif adalah membikin filem dan siri seperti "Paatal Lok", yang berbeza, rumit dan progresif.

"Saya ingin menggunakan posisi yang saya bina berdasarkan kerja keras saya sebagai pelakon untuk menghasilkan karya-karya dan bakat baru.

"Apa yang paling penting adalah untuk orang ramai tahu yang kami di India mampu menceritakan kisah unik dalam cara yang kreatif dan tidak bersikap berat sebelah," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Dalam perkembangan lain, Anushka bakal menerbitkan sebuah filem baru berjudul "Bulbul" yang dibintangi oleh Avinash Tiwary dan Tripti Dimri sebagai peneraju utama.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Hello Magazine)

Cinema Online, 5 Jun 2020


Showtimes