Buletin

Ashraf Muslim akui sukar bawa watak Ustaz Aariz dalam "Ada Apa Dengan Dosa"

Penulis: Ashraf Nasser

 Ashraf Muslim kini lebih memilih naskhah berkonsepkan dakwah dan Islamik.
Ashraf Muslim kini lebih memilih naskhah berkonsepkan dakwah dan Islamik.

11 Jun – Sejak kembali aktif dengan dunia lakonan, pelakon popular Ashraf Muslim dilihat sering menjayakan watak ustaz dalam drama-drama lakonannya dan terbaru dia baru sahaja muncul dengan sebuah filem berjudul "Ada Apa Dengan Dosa" (AADD) yang mana dia sekali lagi menjayakan watak ustaz.

Menurut Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim, walaupun sudah biasa membawa watak sebagai ustaz, namun dia mengakui berdepan cabaran untuk menjayakan watak Ustaz Aariz dalam filem AADD.

"Walaupun saya sebelum ini sering bawa watak sebagai ustaz, tetapi watak Ustaz Aariz dalam filem ini sangat mencabar bagi saya kerana saya perlu memperlihatkan transisi dari zaman muda sehinggalah ke zaman popularnya sebagai seorang ustaz selebriti," ujarnya.


Tambah pelakon "Aku Masih Dara" ini lagi, watak ustaz yang ditampilkan dalam filem ini bukanlah seperti dalam filem atau drama lain yang hanya menggambarkan ustaz itu boleh dikatakan seorang yang 'sempurna', sebaliknya dalam AADD ini memaparkan ustaz bukanlah seorang individu yang sempurna atau tidak pernah melakukan kesilapan.

"Dalam filem ini watak Ustaz Aariz ini pernah mempunyai peristiwa hitam iaitu mempunyai anak luar nikah dan apabila si anak itu bertemu dengannya, Ustaz Aariz menafikan perkara itu kerana bimbang dengan reputasinya. Bagaimanapun, dia perlahan-lahan mula menyedari kesilapannya."

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pengalamannya ketika menjayakan AADD, pelakon berusia 38 tahun itu bersyukur proses penggambaran berlangsung tanpa sebarang masalah walaupun mereka terpaksa berdepan keadaan cuaca sejuk dan tempoh penggambaran yang singkat. Selain Ashraf, filem arahan Rahila Ali ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ia berkisarkan mengenai seorang gadis Aurora yang merupakan anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam. Bagaimanapun semuanya berubah apabila mendapat tahu asal usulnya. Dia yang tertekan dibantu oleh Khaliq yang kemudian telah berangkat ke Malaysia untuk mencari ibu dan bapa kandungnya.

Sementara itu, si ibu kandung Siti Zahrah hidup dihantui dengan dosa silam, manakala ayah kandungnya pula merupakan seorang ustaz terkenal, Ustaz Aariz yang cuba lari dari dosa lalu demi menjaga reputasinya.

AADD yang sepatutnya ditayangkan di pawagam September depan telah diawalkan tayangannya di saluran berbayar Astro First sejak 4 Jun lalu.

(Sumber foto: Ashraf Muslim Instagram)

Cinema Online, 11 Jun 2020


Showtimes