Buletin

"Bikin Filem" papar realiti pembikinan filem

Penulis: Nisa Irina

"Bikin Filem" akan ditayangkan di pawagam rumah anda bermula 5 November ini.
"Bikin Filem" akan ditayangkan di pawagam rumah anda bermula 5 November ini.

30 Okt – Setelah beberapa tahun terperam, filem komedi arahan Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Mohd Yeop Hitler, iaitu "Bikin Filem" akhirnya bakal menemui penonton di saluran Astro First tidak lama lagi.

Penerbit Mohamad Zubir Badarshair daripada Empire Film Solution berkata, tujuan filem ini dihasilkan adalah untuk memberi gambaran kepada orang ramai bagaimana proses sesebuah filem itu diterbitkan sehinggalah ia ditayangkan di pawagam.

"Filem adalah medium hiburan kepada penonton, tetapi sejauh mana masyarakat mengetahui perjalanan sesebuah filem itu dihasilkan? Banyak cabaran yang terpaksa dilalui seperti faktor kewangan, keadaan cuaca dan melayan kerenah pelakon.


"Biarpun ia dilihat sebagai sebuah filem komedi, tetapi secara keseluruhannya filem ini memaparkan kisah sebenar yang dilalui oleh seorang penerbit.

"Bagi yang menonton "Bikin Filem", kami yakin ia akan membuka mata lebih ramai pihak agar tidak memberikan kritikan yang keterlaluan terhadap sesebuah filem yang dihasilkan.

"Hakikatnya, untuk menerbitkan sebuah filem memang sukar dan mereka yang melaluinya saja dapat memahaminya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, "Bikin Filem" adalah berbeza dengan filem-filem yang pernah Astro bawakan sebelum ini untuk tontonan penonton di rumah.

"Penonton sering melihat konten dan kualiti filem, tetapi apa yang tersirat di belakang kejayaan filem tersebut inilah insan-insan yang berusaha keras memastikan sebuah karya terbaik dihasilkan khas buat penonton dan industri.

"Dipersembahkan dalam bentuk santai, semoga penonton Astro terhibur dengan filem komedi ini yang turut membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air. Kami juga berharap kehadiran "Bikin Filem" turut dapat mengisi masa penonton untuk terus kekal berada di rumah.

"Dalam pada itu, syabas buat penerbit baru, Empire Film Solution yang pertama kali menerbitkan filem tetapi kreatif tampilkan konteks yang berbeza untuk tontonan penonton," katanya.

Sehubungan dengan itu, Astro Shaw turut mengeluarkan treler filem "Bikin Filem" secara rasmi pada Khamis.

"Bikin Filem" mengisahkan tentang seorang bekas bintang filem terkenal dengan gosip-gosip liar, Khaty yang ingin menerbitkan sebuah filem bertajuk "Dendam Berbalas" kerana baru bercerai.

Khaty ingin pengarah Rahim G untuk mengarah filem tersebut. Namun, pelbagai cabaran dan insiden lucu mencuit hati berlaku sepanjang perjalanan pihak produksi menjayakan filem tersebut.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Sherry Alhadad, Azhan Rani, Amerul Affendi, Mark Adam, Azrel Ismail, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed, Kamarool Hj Yusoff, 'Raja Dubsmash Malaysia' Ucop dan ramai lagi.

"Bikin Filem" akan ditayangkan menerusi Astro First (saluran 480), Astro Go dan Astro On Demand bermula 5 November ini.

(Sumber foto: Astro Gempak Instagram)

Cinema Online, 30 Oktober 2020


Showtimes