Buletin

"BoBoiBoy Movie 3" sudah dalam perancangan

Penulis: Ashraf Nasser

Animasi
Animasi "BoBoiBoy" menjadi bukti animasi tempatan kini sudah bertaraf
dunia dan mampu bersaing dengan animasi dari Hollywood.

18 Jun – Sejak hari pertama filem animasi "BoBoiBoy Movie 2" (BBBM2) ditayangkan serentak di lima buah negara, sambutan yang diterima terhadap animasi tempatan ini cukup luar biasa sehingga ia berjaya mencipta rekod baru dengan meraih kutipan RM30 juta, sekaligus menjadi filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Walaupun sudah lebih setahun berlalu, namun filem animasi terbitan Animonsta Studios (Monsta) ini terus mengharumkan nama negara di seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai pengiktirafan dan anugerah yang berjaya dirangkul.


Terbaru, BBMM2 baru sahaja tercalon sebagai finalis dalam kategori Filem Animasi Terbaik di Anugerah Florence, Itali dan kategori Animasi 3D Terbaik di Anugerah Filem Animasi New York 2020.

Pencalonan terbaru ini diumumkan selepas BBMM2 baru sahaja merangkul dua anugerah di Anugerah Festival Laurus Rusia menerusi Poster Terbaik dan Treler Terbaik.

"Saya sangat bersyukur dengan kejayaan yang dicapai oleh BBMM2 ketika ini. Saya secara peribadi atau pasukan Monsta tidak pernah mengharapkan kemenangan kerana apa yang penting adalah memperkenalkan animasi kami kepada dunia. Jika menang ia adalah bonus buat kami," ujar Nizam kepada Cinema Online.

Ditanya samada pihak Monsta mempunyai perancangan untuk menghasilkan trilogi "BoBoiBoy" memandangkan sambutan terhadap animasi sangat luar biasa, Nizam dedah pihaknya sudah pun mempunyai perancangan ke arah itu.

"Selepas kejayaan luar biasa BBMM2 memang kami ada perancangan untuk hasilkan filem ketiga "BoBoiBoy", tetapi buat masa ini ia bukanlah keutamaan kami kerana kami mempunyai sebuah filem animasi terbaru iaitu "Mechamato" yang sepatutnya ditayangkankan pada tahun ini tetapi terpaksa ditunda ke tahun 2021 akibat pandemik COVID-19."

Tambahnya lagi, buat masa ini pihaknya juga tidak dapat tentukan tarikh baru tayangan filem "Mechamato" berikutan situasi masih belum pulih sepenuhnya dan pawagam di seluruh negara masih lagi ditutup.

Untuk pengetahuan pembaca, animasi "Mechamato" adalah prekuel ke "BoBoiBoy" yang mengisahkan tentang bapa kandung BoBoiBoy.

Cinema Online, 18 Jun 2020



You May Also Like:
To read this article in English, CLICK HERE
Showtimes