Buletin

"BoBoiBoy Movie 2" kini ditayangkan semula di layar perak!

Penulis: Ashraf Nasser

TGV Cinemas akan menayangkan semula filem animasi
TGV Cinemas akan menayangkan semula filem animasi "BoBoiBoy Movie 2".

1 Jul – Berita gembira buat peminat BoBoiBoy! Filem animasi pecah panggung "BoBoiBoy Movie 2" bakal ditayangkan semula di pawagam bermula hari ini (1 Julai) di TGV Cinemas terpilih.

Lebih menarik lagi, harga tiket untuk filem animasi terbitan Animonsta Studios itu bermula serendah RM5 sahaja.

Perkara itu dikongsi oleh di laman sosial Facebook rasmi BoBoiBoy sebentar tadi.


Terdahulu, pawagam di seluruh negara terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banyak filem terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baru.

Susulan pengumuman membenarkan pawagam kembali beroperasi, kebanyakan pawagam mengambil pendekatan untuk menayangkan beberapa filem pecah panggung tahun lalu berikutan masih banyak lagi filem terbaru yang belum menetap atau menanti tarikh tayangan rasmi.

Terdahulu, filem "BoBoiBoy Movie 2" yang ditayangkan pada tahun lalu telah mencipta sejarah apabila ditayangkan serentak di lima buah negara dan berjaya meraih kutipan lebih RM30 juta sekaligus menjadi filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah.

Selain cemerlang dalam negara, animasi tempatan ini juga telah berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan terbaru, Animonsta Studios (monsta) telah mendedahkan mereka mempunyai perancangan untuk hasilkan filem ketiga "BoBoiBoy", bagaimanapun tiada butiran lanjut kerana ia masih lagi di peringkat awal.

Untuk waktu tayangan "BoBoiBoy Movie 2" di TGV Cinemas, boleh layari www.cinema.com.my/bm/showtimes/cinemastgv.aspx.

(Sumber foto: BoBoiBoy Facebook)

Cinema Online, 1 Julai 2020


Showtimes