Buletin

"BoBoiBoy Movie 2" bakal dirilis di Netflix

Penulis: Nisa Irina

Para peminat meluahkan rasa teruja menanti tayangan
Para peminat meluahkan rasa teruja menanti tayangan "BoBoiBoy Movie 2" di Netflix.

12 Mei – Pihak produksi animasi Malaysia Animonsta Studios mengumumkan bahawa filem animasi 3D "BoBoiBoy Movie 2" bakal ditayangkan menerusi portal penstriman video terkenal Netflix.

Perkara itu disampaikan menerusi akaun-akaun media sosial rasmi Monsta, BoBoiBoy, serta Facebook milik Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Nizam Razak, semalam.



Walau bagaimanapun, buat masa ini pihak Animonsta masih belum mendedahkan tarikh sebenar untuk ia dirilis di portal penstriman video tersebut.

Rata-rata para peminat mengucapkan tahniah serta memberi maklum balas positif dan meluahkan rasa teruja menantikan tayangan filem animasi kegemaran mereka.

Selain menjadi berita baik buat para peminat siri animasi dan filem "BoBoiBoy", ia juga memberi peluang kepada pihak produksi mempromosikan filem animasi Malaysia yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa secara global.

Tahun lalu, "BoBoiBoy Movie 2" telah melakar sejarah apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM27.7 juta selepas 26 hari tayangan, sekaligus menjadikan ia produksi animasi Malaysia paling laris.


Dalam perkembangan lain, Nizam Razak turut meluahkan rasa syukur apabila siri animasi "Fly With Yaya" menerima liputan daripada sebuah agensi akhbar di Jepun baru-baru ini.

Buat pengetahuan lanjut, "Fly With Yaya" merupakan siri 'spin-off' dari francais "BoBoiBoy" dan "BoBoiBoy Galaxy", menampilkan watak Yaya dalam pengembaraannya mengenali keindahan budaya Jepun.

(Sumber foto: BoBoiBoy Twitter)

 

Cinema Online, 12 Mei 2020


Related Movies:
BoBoiBoy The Movie (Malay) (18 Mar 2016)
BoBoiBoy Movie 2 (Malay) (08 Aug 2019)
Showtimes