Buletin

Cinta Laura akui lebih selesa kembangkan karier di Amerika

Penulis: Nisa Irina

Cinta Laura pernah dikecam hanya kerana mempunyai loghat bahasa Inggeris.
Cinta Laura pernah dikecam hanya kerana mempunyai loghat bahasa Inggeris.

28 Sep – Pelakon dan penyanyi Indonesia Cinta Laura Kiehl mengakui tidak menyesal dengan keputusannya untuk berpindah ke Amerika Syarikat dan meninggalkan dunia hiburan selama beberapa tahun lalu.

Menurut aktres kacukan Indonesia-Jerman itu, ia adalah susulan penerimaannya di negara Barat, di mana rakyatnya tidak terlalu cepat menghukum tanpa alasan kukuh, berbanding di Indonesia.

Laura yang memulakan karier seninya seawal usia 12 tahun mendedahkan dia pernah menjadi bahan kecaman ramai hanya kerana mempunyai loghat bahasa Inggeris ketika bercakap.

"Bila fikirkan balik, ia adalah cara untuk saya melarikan diri dari Indonesia pada waktu itu. Bukan sebab saya tak cintakan negara saya, tetapi saya rasa mungkin saya dapat mula lebih awal di Amerika.


"Di Hollywood, saya dapat menjadi diri sendiri dan orang-orang di sana tidak akan menghakimi saya. Malah mereka menerima saya seadanya," katanya yang dipetik dari Kompas.

Sehingga kini, aktres yang membuat debut di layar perak menerusi filem "Oh Baby" itu pernah membintangi enam buah filem Hollywood termasuk "The Ninth Passenger" dan "The Nanny Is Watching".

Terdahulu, Laura juga pernah menyertai uji bakat bagi filem-filem Hollywood lain seperti "Star Wars", "Fantastic Beast 2", "Beautiful Creatures" dan "Paper Planes", serta siri TV "Scream Queens" dan "The Get Down".

Walaupun tidak berjaya dipilih untuk projek-projek tersebut, namun Laura tidak memandangnya sebagai suatu kegagalan, sebaliknya pembakar semangat untuk terus memperbaiki dirinya.

Kali terakhir Laura dilihat berlakon adalah menerusi filem seram "MatiAnak" dan "Jeritan Malam".

(Sumber foto: Cinta Laura Instagram)

Cinema Online, 28 September 2020


Related Movies:
OH BABY (Indonesian) (16 Oct 2008)
Showtimes