Buletin

Cinta Laura tak kejarkan gelaran Miss Universe

Penulis: Nisa Irina

Cinta Laura akui tak mahu terikat dengan kontrak Miss Universe yang padat.
Cinta Laura akui tak mahu terikat dengan kontrak Miss Universe yang padat.

11 Sep – Biarpun sering diasak peminat untuk mewakili Indonesia dalam pertandingan ratu cantik Miss Universe, namun pelakon dan penyanyi Cinta Laura Kiehl mengakui gelaran Miss Universe bukanlah sesuatu yang dikejarkan dalam hidupnya.

Jelas pelakon berdarah kacukan Jerman-Indonesia itu, dia lebih selesa meneruskan karier sebagai pelakon memandangkan namanya juga sudah lama kukuh dalam industri hiburan dan perfileman di Indonesia dan antarabangsa.

"Sampai sekarang mereka masih meminta saya untuk sertai Miss Universe. Sepertinya Tuhan telah menentukan perjalanan yang berbeza buat saya kerana saya sudah ada karier sendiri.


"Sejak umur 12 tahun lagi saya sudah menceburi dunia hiburan, lakonan, nyanyian dan macam-macam lagi.

"Kalau jadi Miss Universe, komitmennya tinggi kerana terikat dengan kontrak lima tahun bersama beberapa jenama di Indonesia, selain terlibat dengan program-program lain di New York, jadi susah untuk saya berlakon filem," katanya yang dipetik dari Kompas.

Dalam pada itu, Cinta yang mengakui tidak meletakkan soal cinta sebagai tumpuan utamanya turut menafikan spekulasi yang mengatakan dia sedang bercinta dengan pemain jetski Aero Sutan Aswar.

"Saya seorang yang kuat bekerja, saya sayangkan kerja saya. Fokus saya masih belum ke arah itu kerana saya tiada masa untuk memikirkannya," ujar pelakon drama "Upik Abu dan Laura" itu lagi.

Dalam perkembangan lain, biarpun aktiviti lakonannya terjejas dalam tempoh Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Indonesia, namun Cinta masih aktif terbabit dengan program-program lain.

Kali terakhir Cinta dilihat berlakon adalah menerusi filem seram "MatiAnak" dan "Jeritan Malam".

(Sumber foto: Cinta Laura Instagram)

Cinema Online, 11 September 2020


Related Movies:
OH BABY (Indonesian) (16 Oct 2008)
Showtimes