Buletin

Dato' Hans Isaac tetamu jemputan pertama Neelofa untuk Next To Neelofa

Penulis: Nisa Irina

Neelofa pernah berbincang dengan Hans Isaac mengenai program ini sejak lima tahun lalu.
Neelofa pernah berbincang dengan Hans Isaac mengenai program ini sejak lima tahun lalu.

9 Jul – Pelakon dan pengacara terkenal Noor Neelofa mengumumkan bahawa dia bakal muncul dengan sebuah program bual bicara terbaru iaitu Next To Neelofa yang akan bersiaran bulan ini.

Sehubungan dengan itu, Neelofa akan tampil bersama-sama tetamu jemputannya yang terdiri daripada selebriti-selebriti tanah air dalam setiap episod, bermula dengan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dato' Hans Isaac, untuk episod pertama.


"Banyak sebab kenapa Lofa pilih Hans Isaac untuk menjadi tetamu jemputan pertama Next To Neelofa. Saya telah memberitahu konsep program ini kepada dia sejak lima tahun lalu dan tentunya dialah yang paling sesuai untuk memulakan arus ini.

"Saya harap anda semua akan menyukai episod pertama sebanyak mana saya menyukainya," tulis Neelofa menerusi entri yang dikongsikan di Twitter.

Dalam pada itu, Neelofa turut berkongsikan video dan foto di sebalik tabir penggambaran program itu menerusi laman Instagram, berserta ucapan terima kasih buat Dato' Hans kerana sama-sama menjayakannya.

Sesi penggambaran telah pun dijalankan pada minggu lalu di resort milik penerbit , pengarah dan pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina, Tiarasa Escapes. Temubual Neelofa bersama Tiara akan ditampilkan dalam salah satu episod program itu.

Selain Hans dan Tiara, antara tetamu jemputan lain yang akan tampil dalam Next To Neelofa ialah pereka fesyen tersohor tanah air iaitu Dato' Rizalman Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Times Square Berhad, Chryseis Tan.

Next To Neelofa akan dipenuhi dengan sembang santai bersama para tetamu jemputan mengenai kehidupan, cinta, kesihatan, kecantikan dan gaya hidup peribadi mereka. Ia bakal ditayangkan di Astro Ria dan Ria HD bermula 23 Julai ini.

(Sumber foto: Neelofa Instagram)

Cinema Online, 9 Julai 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes