Buletin

Deepika Padukone menangis tiga kali ketika disoal siasat NCB

Penulis: Nisa Irina

Deepika Padukone dilaporkan berada dalam bilik siasatan NCB selama lima jam.
Deepika Padukone dilaporkan berada dalam bilik siasatan NCB selama lima jam.

29 Sep – Bintang Bollywood Deepika Padukone selesai menghadiri sesi soal siasat yang dikendalikan oleh Biro Kawalan Narkotik India (NCB) membabitkan kes dadah susulan kematian aktor Sushant Singh Rajput pada 26 September lalu.

Menurut laporan dari Zoom TV, Deepika, yang disoal siasat selama lima jam, dikatakan tidak dapat mengawal emosinya sehingga menangis sebanyak tiga kali.

Namun begitu, pihak NCB tidak mengendahkan Deepika, sebaliknya meminta isteri kepada aktor Ranveer Singh itu untuk tidak berpura-pura dan menceritakan perkara yang sebenar.

Terdapat spekulasi yang mengatakan Ranveer telah membuat rayuan kepada pihak NCB untuk membenarkannya menemani isterinya sewaktu sesi soal siasat berlangsung namun perkara itu belum disahkan.

Terdahulu, foto Deepika yang mengadakan sebuah parti di Mumbai pada 2017 tular di media sosial, termasuk pesanan ringkas berkenaan jual beli dadah menerusi aplikasi Whatsapp bersama pengurusnya Karishma Prakash.


Walau bagaimanapun, Karishma yang baru-baru ini dipanggil untuk membantu siasatan, telah pun memohon pengecualian atau penangguhan siasatan sehingga 25 September atas sebab masalah kesihatan.

Untuk rekod, Deepika merupakan salah seorang selebriti yang terbabit dengan soal siasat berkaitan kes dadah dalam industri Bollywood selain Rhea Chakraborty, Shraddha Kapoor, Sara Ali Khan, Rakul Preet Singh dan Simone Khambatta.

(Sumber: Zoom TV)
(Sumber foto: ebiopic.com)

Cinema Online, 29 September 2020


Related Movies:
Chhapaak (Hindi) (10 Jan 2020)
Padmaavat (Hindi) (25 Jan 2018)
xXx: The Return Of Xander Cage (19 Jan 2017)

Jwplayer article page COSG
Showtimes