Buletin

"Delhi Crime" dinobat sebagai Siri Drama Terbaik di Anugerah Emmy Antarabangsa 2020

Penulis: Nisa Irina

Shefali Shah akan kembali dalam "Delhi Crime" musim kedua tidak lama lagi.
Shefali Shah akan kembali dalam "Delhi Crime" musim kedua tidak lama lagi.

26 Nov – Siri jenayah dalam talian "Delhi Crime" berjaya melakar sejarah apabila ia dinobatkan sebagai juara kategori Siri Drama Terbaik di Anugerah Emmy Antarabangsa ke-48 yang berlangsung pada Isnin.

Ditulis dan diarahkan oleh pembikin filem Kanada-India, Richie Mehta, siri tujuh episod itu diinspirasikan daripada kes seorang wanita yang dirogol beramai-ramai dan dibunuh di Delhi pada 2012.


Menerusi siri itu, Mehta memberi tumpuan kepada para pegawai polis yang ditugaskan untuk mengendalikan kes berkenaan serta mengetengahkan kesabaran dan dedikasi tinggi mereka ketika bekerja.

"Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua wanita yang bukan sahaja berdepan kekerasan oleh ramai lelaki, tetapi juga mereka yang ditugaskan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Akhir sekali, kepada ibu yang berpenat lelah, dan anak perempuannya. Tiada hari yang saya tidak fikirkan tentang kamu berdua dan apa yang dunia telah lakukan kepada kamu berdua.

"Saya harap tiada siapa di antara kita akan lupakan kejadian itu," kata Mehta dalam ucapannya yang dipetik dari Miss Malini.

Aktres Bollywood Shefali Shah menggalas watak utama sebagai DCP Vartika Chaturvedi, yang ditugaskan untuk memburu semua suspek yang bertanggungjawab atas gangguan seksual dan kematian mangsa.

Sehubungan dengan itu, Shefali juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya atas kemenangan tersebut dan berkongsikannya menerusi laman Instagram miliknya.

Selain Shefali, siri yang ditayangkan di sebuah portal penstriman video berbayar itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Rasika Dugal, Adil Hussain dan Rajesh Tailang.

"Delhi Crime" bakal menemui para penonton dengan musim kedua tidak lama lagi.

(Sumber: Miss Malini)
(Sumber foto: American Kahani)

Cinema Online, 26 November 2020


Showtimes