Buletin

Dipika Kakar terima tawaran terajui siri TV "Naagin 5"?

Penulis: Nisa Irina

 Para peminat bersikap terbuka sama ada Dipika Kakar ingin membintangi
Para peminat bersikap terbuka sama ada Dipika Kakar ingin membintangi
"Naagin 5" atau tidak.

3 Jun – Baru-baru ini timbul spekulasi mengatakan bintang televisyen terkenal Dipika Kakar telah ditawarkan untuk membintangi siri televisyen thriller fantasi "Naagin" terbitan Ekta Kapoor musim kelima.

Ia susulan Ekta mengumumkan siri televisyen musim keempat yang dihasilkan dengan versi baru itu sudah hampir ke penghujungnya.

Seperti yang diberitahu oleh pihak penerbit sebelum ini, sesi penggambaran akan bermula sebaik sahaja Perintah Berkurung ditamatkan.


Menurut laporan dari News18, sebelum ini Ekta sudah lama berkeinginan untuk bekerjasama dengan Dipika namun tidak berkesempatan sehingga kini.

Walau bagaimanapun, Dipika, Ekta mahupun mana-mana pihak produksi masih belum tampil untuk mengesahkan berita tersebut.

Jika dilihat menerusi Twitter, ada peminat yang beranggapan ia sesuai dibawa oleh Dipika dan aktres itu sudah cukup berpengalaman untuk membuat keputusan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Terdahulu, Mahekk Chalal juga dikatakan telah menerima tawaran membintangi "Naagin 5" namun aktres itu lantas menafikan spekulasi yang tular di media sosial.

"Saya tidak akan terlibat dengan "Naagin 5" atau ditawarkan untuk membintanginya. #EktaKapoor Saya tidak tahu bagaimana ura-ura ini boleh timbul. Saya hanya ingin memperbetulkan keadaan. #BalajiTelefilms," tulisnya di Twitter.

Kali terakhir Dipika dilihat berlakon di kaca televisyen adalah menerusi siri "Kahaan Hum Kahaan Tum" yang ditayangkan bermula 17 Jun 2019 hingga 14 Mac 2020.

(Sumber: News18, Mahekk Chalal Twitter)
(Sumber foto: Mid-Day)

Cinema Online, 3 Jun 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes