Buletin

Disha Patani ingin buktikan diri sebagai aktres versatil

Penulis: Nisa Irina

Disha Patani membesar dengan menonton filem aksi dan adiwira.
Disha Patani membesar dengan menonton filem aksi dan adiwira.

31 Mac – Aktres Disha Patani memberitahu dia tidak akan berhenti bekerja keras sepanjang berkecimpung dalam dunia seni sehingga dia dapat membuktikan dirinya sebagai pelakon versatil.

"Perjalanan saya masih jauh untuk saya mencipta nama dalam industri ini. Saya akan bekerja keras setiap hari dengan harapan orang ramai dapat menerima kelainan lakonan saya suatu hari nanti.

"Apa yang saya maksudkan dengan kelainan adalah sifat 'tomboy' saya. Saya membesar dengan menonton filem-filem aksi dan adiwira, terutamanya filem Jackie Chan. Saya ingin lakukan pelbagai filem aksi.

"Dulu saya pernah bercita-cita untuk menjadi juruterbang Tentera Udara tetapi saya tak teruskan kerana mempunyai masalah mabuk ketinggian," dedahnya menerusi Mumbai Mirror.

Sebelumnya, Disha telah menjayakan dua buah filem dari francais aksi "Baaghi" iaitu "Baaghi 2" dan baru-baru ini "Baaghi 3" bersama aktor gandingannya Tiger Shroff serta bapa Tiger, Jackie Shroff.


Menurut Disha, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan kedua-dua bintang terkenal itu memandangkan mereka sangat profesional dan hebat dalam lakonan.

Dalam perkembangan lain, Disha telah selesai menjalani penggambaran filem aksi terbarunya bersama Salman Khan iaitu "Radhe: Your Most Wanted Bhai" sebelum industri filem India digantung sementara akibat pandemik COVID-19.

Selain "Radhe", Disha juga akan membintangi filem "KTina" terbitan Ekta Kapoor dan Shobha Kapoor. Filem itu turut menampilkan aktor Akshay Oberoi dan Sunny Singh.

"Radhe: Your Most Wanted Bhai" dan "KTina" dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun ini.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: 99 Images)

Cinema Online, 31 Mac 2020



Pautan Berkaitan:
Showtimes