Buletin

Divvya Chouksey meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat kanser

Penulis: Nisa Irina

Divvya Chouksey tinggalkan ucapan selamat tinggal buat para peminat pada malam sebelum kematiannya.
Divvya Chouksey tinggalkan ucapan selamat tinggal buat para peminat
pada malam sebelum kematiannya.

15 Jul – Aktres, model dan penyanyi Divvya Chouksey disahkan meninggal dunia pada usia 28 tahun pada Ahad lalu akibat menderita penyakit kanser pankreas selama hampir dua tahun.

Berita sedih itu telah dikongsikan sepupunya, Soumya Amish Verma, menerusi laman Facebook dan meminta orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan rohnya.

Menurut pengarah Monjoy Mukerji, yang juga pengarah filem "Hai Apna Dil Toh Awara" (2016) dibintangi Divvya, dia telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bhopal.

"Dia menderita kanser selama setahun setengah. Dia telah sembuh tetapi sakit itu datang kembali selepas beberapa bulan. Kali ini dia tidak dapat melawannya.


"Dia meninggal dunia pada Ahad di kampung halamannya di Bhopal. Dia merupakan seorang wanita yang bersemangat tinggi. Dia mempunyai minat mendalam terhadap kerjanya.

"Dalam tempoh yang singkat, dia dapat membawa filem itu dengan jayanya. Pemergiannya mengejutkan saya," ujar Mukerji yang dipetik dari The New Indian Express.

Dalam pada itu, Divvya ada berkongsikan sekeping nota berupa ucapan selamat tinggal kepada para peminatnya menerusi Instagram pada malam sebelum kematiannya.

Untuk rekod, Divvya pernah tampil dalam beberapa filem, rancangan televisyen dan video muzik serta mempunyai sebuah lagu berjudul "Patiyaale Di Queen".

(Sumber: The New Indian Express)
(Sumber foto: Divvya Chouksey Facebook & Instagram)

Cinema Online, 15 Julai 2020


Showtimes