Buletin

Ellie Suriaty cadang pemilik akaun YouTube wajib ada lesen

Penulis: Ashraf Nasser

Ellie Suriaty turut bidas segelintir pihak yang menggelar diri mereka sebagai pengkritik filem sedangkan mereka tidak layak berbuat demikian.
Ellie Suriaty turut bidas segelintir pihak yang menggelar diri mereka sebagai pengkritik filem
sedangkan mereka tidak layak berbuat demikian.

11 Ogos – Pengarah dan pelakon Ellie Suriaty Omar menerusi kumpulan Gabungan Anak Seni (GAS) memberitahu mereka mahu mencadangkan pemilik akan YouTube yang menjana pendapatan lumayan wajib mempunyai lesen.

Memorandum cadangan penambahbaikan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 dan Akta Surahanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 akan diserahkan kepada FINAS, SKMM, Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP).

"Saya tidak kisah dikecam apabila menggesa kerajaan menyegerakan pengeluaran lesen bagi pengguna media sosial terutama YouTube. Orang di luar tidak tahu kesan yang terpaksa pemain industri hadapi akibat YouTube.

"Ramai YouTuber muda yang berjaya dengan kreativiti kandungan mereka hingga menjana pendapatan lumayan. Namun, ada antara mereka mengambil kesempatan daripada selebriti untuk mengaut keuntungan.


"Ramai rakan saya sudah menjadi mangsa. Jadi, saya tidak mahu lebih ramai lagi yang terkena namun tidak dapat apa-apa faedah. Jadi, di mana hak kami golongan yang dipergunakan ini," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pengarah filem "Penanggal" ini lagi, cadangan penambahbaikan akta itu perlu segera digubah kerana akta sedia ada ketika ini sudah tidak relevan dalam melindungi kepentingan industri seni.

Dalam pada itu, Ellie turut membidas segelintir pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai pengkritik filem di YouTube yang mana mereka ini tidak berhak berbuat demikian kerana tidak mempunyai kelayakan atau skil sebagai pengkritik filem.

Jelasnya lagi, tindakan mereka ini telah menyebabkan sesebuah filem itu mengalami kerugian.

Sejak kebelakangan ini industri seni menjadi buah mulut ramai apabila banyak isu yang dibangkitkan termasuklah beberapa buah filem tempatan yang menjadi mangsa cetak rompak yang dijual di platform e-dagang popular.

(Sumber foto: Ellie Suriaty Instagram)

Cinema Online, 11 Ogos 2020


Showtimes