Buletin

Eyra Hazali rehat berlakon demi kesihatan kandungan

Penulis: Nisa Irina

Eyra Hazali bersyukur dua filemnya ditayangkan pada tahun ini.
Eyra Hazali bersyukur dua filemnya ditayangkan pada tahun ini.

25 Feb – Baru-baru ini pelakon Eyra Hazali mengumumkan berita gembira mengenai kehamilannya setelah lebih tiga bulan mendirikan rumah tangga bersama penjaga gol kelab Johor Darul Ta'zim, Haziq Nadzli.

Sehubungan dengan itu, Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, memberitahu bahawa dia terpaksa berehat dari dunia lakonan buat sementara waktu demi menjaga kesihatan diri dan kandungannya.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah atas rezeki ini. Saya minta maaf terpaksa tolak tawaran berlakon, undangan majlis dan mesyuarat kerana kesihatan saya.

"Saya mengalami alahan yang teruk jadi terpaksa tolak untuk jaga kesihatan memandangkan ini kandungan pertama. Sebelum ini saya ada menidakkan diri mengandung, itu kerana terlalu awal untuk dedahkan dan nak pastikan kandungan kuat.


"Alhamdulillah, rezeki tak putus-putus tapi saya kena beritahu juga perkara sebenar supaya setiap produksi dan klien faham keadaan saya dan sebab saya menolak," tulisnya menerusi laman Instagram.

Walaupun membuat keputusan untuk berehat, Eyra berjaya mencipta nama di layar perak apabila tampil dalam dua buah filem yang ditayangkan pada tahun ini iaitu "M4M4" dan "Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda".

Menerusi filem "Ratu Kala Jengking", Eyra menampilkan sisi berbeza bagi lakonannya apabila berperanan sebagai watak antagonis. Selain Eyra, filem terbitan Datuk A. Aida itu turut dibarisi pelakon seperti Nadia Brian, Fauziah Nawi dan Datuk Fizz Fairuz.

(Sumber foto: Eyra Hazali Instagram)

Cinema Online, 25 Februari 2020


Related Movies:
Ratu Kala Jengking (Malay) (27 Feb 2020)
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)
Showtimes