Buletin

Fahrin Ahmad bakal bintangi filem Bangladesh "Dhaka Attack"

Penulis: Ashraf Nasser

Fahrin Ahmad kini pilih watak yang sesuai dengan usianya.
Fahrin Ahmad kini pilih watak yang sesuai dengan usianya.

13 Ogos – Pelakon popular Fahrin Ahmad bakal melebarkan sayap lakonannya di peringkat antarabangsa apabila bakal membintangi filem Bangladesh berjudul "Dhaka Attack".

Bagaimanapun butiran lanjut mengenai filem itu termasuk watak, barisan pelakon, pengarah dan jalan cerita masih lagi belum didedahkan.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjaya seninya pelakon "Pilot Café" ini berkata selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dia kini mengambil pendekatan untuk bersikap selektif terhadap tawaran berlakon yang diterimanya.

Menurut Fahrin, sikap selektifnya bukanlah bermaksud dia memilih watak sebaliknya melihat kesesuaian watak yang akan dijayakan.


"Saya bukan seorang yang memilih watak, sebaliknya saya melihat kesesuaian watak yang akan dibawakan. Tidak dinafikan, rakan seusia sudah mula membawakan watak bapa dan pakcik.

"Tetapi jika dikehendaki membawa watak pelajar kolej, saya akan tolak. Bagi saya, hendak menerima sesuatu tawaran perlulah melihat kepada kesesuaian," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Pelakon "Pilot Café" ini bagaimanapun bersyukur apabila dirinya masih lagi dihujani tawaran berlakon walaupun usianya kini sudah 41 tahun.

Dalam pada itu, Fahrin berkata dia tiada formula khusus yang diamalkan untuk terus kekal relevan dalam industri seni sebaliknya dia sangat menekan soal disiplin dan juga memastikan orang di sekeliling selesa bekerja dengannya.

(Sumber foto: Fahrin Ahmad Instagram)

Cinema Online, 13 Ogos 2020


Showtimes