Buletin

Filem "M4M4" papar realiti mangsa jenayah rogol

Penulis: Nisa Irina

Barisan pelakon yang memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "M4M4" di mmCineplexes eCurve.
Barisan pelakon yang memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "M4M4" di mmCineplexes eCurve.

4 Feb – Pengarah terkenal Eyra Rahman kembali ke layar perak menerusi filem arahannya yang ke-15 bergenre thriller seram berjudul "M4M4", bermaksud "Mati Empat Mati Empat".

Menurut Eyra atau nama penuhnya Nor Zahirah Abdul Rahman, apa yang membuatnya tertarik untuk menggarap filem itu adalah kasih sayang seorang ibu terhadap anak tunggalnya yang mati dibunuh.

"Asalnya saya dipanggil oleh penerbit sendiri iaitu Abang Aseh (Allahyarham Datuk Mokhairul Shamsul Mokhtar) untuk menghasilkan sebuah filem yang juga idea asal beliau.

"Menurut beliau, saya dipilih kerana beliau berpendapat naskhah ini sesuai diarahkan oleh pengarah wanita," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "M4M4" di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.


Mengulas isu berkenaan perbandingan filem "M4M4" dengan filem India arahan Ravi Udyawar iaitu "Mom" (2017) lakonan Sridevi, Eyra berkata kedua-dua filem itu langsung tidak mempunyai sebarang kaitan.

""M4M4" tak ada kaitan dengan filem "Mom". Saya sendiri pun tak tengok filem itu. Jadi, tak timbul isu filem "M4M4" meniru filem "Mom". Gaya penceritaan juga berbeza jadi saya harap orang ramai boleh berhenti membandingkan filem kami.

"Mungkin ada persamaan dari segi kisah ibu yang membalas dendam untuk anaknya yang menjadi mangsa rogol. Namun, "M4M4" mengisahkan mengenai konflik ibu dan anak kandungnya dan berbeza dengan "Mom"," katanya.


Pengarah Eyra Rahman puas hati dengan hasil terakhir filem "M4M4".

Dalam pada itu, Eyra berasa lega kerana tiada babak yang dipotong oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dalam filem "M4M4". Sesi penggambaran pula telah berlangsung selama 25 hari pada Disember 2018 di beberapa lokasi di Lembah Klang dan Karak.

Diterbitkan oleh Da Motion Media, filem "M4M4" berkisarkan tentang seorang ibu bernama Aini yang ingin membalas dendam atas kematian anaknya Alya, yang menjadi mangsa rogol sekumpulan samseng.

Filem itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Yusry Abd Halim, Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali, Izzy Reef dan pelakon cilik Amanda Hariz.

"M4M4" akan menemui penonton di pawagam bermula 6 Februari ini.

Cinema Online, 4 Februari 2020


Related Movies:
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)

Pautan Berkaitan:
Showtimes