Buletin

Filem "Roh" terpaksa tunda tayangan ke tarikh baru

Penulis: Ashraf Nasser


Pengumuman dibuat oleh produksi Kuman Pictures mengenai
penundaan tayangan filem "Roh".

17 Mac – Filem seram terbaru "Roh" menjadi sebuah lagi filem tempatan yang terpaksa menunda tayangan filem mereka ke satu tarikh baru berikutan pihak kerajaan telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga hujung bulan ini.

"Memandangkan krisis kesihatan yang makin meruncing, tayangan #filemROH yang sepatutnya keluar Khamis ini (19 Mac) terpaksa ditunda hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.


"Terima kasih, dan sama-sama kita berhati-hati," kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh penerbit filem iaitu Kuman Pictures di Facebook milik mereka.

Filem pertama arahan Emir Ezwan ini berkisarkan mengenai sebuah keluarga daif di pinggir hutan yang mana mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri. Sejak dari itu, kejadiah aneh mula berlaku dan menghantui mereka.

"Roh" dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron, Putri Syahadah Nurqaseh dan June Lojong.

(Sumber foto: Kuman Pictures Facebook)

Cinema Online, 17 Mac 2020


Showtimes