Buletin

Fimie Don teruja dapat bekerjasama dengan Sabri Yunus dalam "Butak"

Penulis: Nisa Irina

Fimie Don terima tawaran filem
Fimie Don terima tawaran filem "Butak" kerana ingin bekerja di bawah arahan Sabri Yunus.

10 Ogos – Sekian lama kelibatnya tidak muncul di kaca televisyen dan layar perak, pelakon Shafimie Saedon atau lebih dikenali sebagai Fimie Don bakal kembali dengan filem terbarunya berjudul "Butak".

Bercakap mengenai pengalaman kali pertama bekerja di bawah arahan Sabri Yunus, Fimie yang kini berusia 22 tahun memberitahu, ia adalah satu pengalaman berharga memandangkan dia sudah lama meminati pelawak dan pelakon itu.


"Mula-mula, saya tidak tahu watak yang ditawarkan. Namun, apabila saya dapat tahu pengarahnya adalah abang Sabri, saya terus beritahu ibu, saya terima tawaran itu.

"Saya sangat meminati abang Sabri. Apabila bekerja dengannya, saya mendapati beliau sangat peka dalam banyak aspek.

"Seronok bekerja dengan abang Sabri. Ini pengalaman yang saya simpan, kenang dan hargai. Apabila berada di set penggambaran, saya teruja hendak bekerja," katanya menerusi laporan dari BH Online.

Buat pengetahuan lanjut, sesi penggambaran filem itu telah pun selesai dijalankan pada dua tahun lalu dan kini ia berada dalam proses pos-produksi.

Selain Fimie, filem terbitan Two Tones Sdn Bhd itu turut menampilkan berisan pelakon lain seperti Izuan Fitri, Melly Amalin, Khatijah Tan, Kazar Saisi dan ramai lagi.

Asalnya, pihak produksi bercadang untuk menayangkan filem itu pada Ogos ini di pawagam. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 mengubah rancangan produksi yang akhirnya membuat keputusan untuk menayangkan filem "Butak" di saluran Astro First tidak lama lagi.

(Sumber foto: Fimie Don Instagram)

Cinema Online, 10 Ogos 2020


Showtimes