Buletin

Penggambaran filem "ImagiNur" disambung semula hari ini

Penulis: Nisa Irina

 Diana Danielle, Beto Kusyairy dan Nadiya Nisaa gembira kembali ke set penggambaran
Diana Danielle, Beto Kusyairy dan Nadiya Nisaa gembira kembali
ke set penggambaran "ImagiNur".

1 Jul – Industri perfileman tempatan sudah mula kembali berjalan seperti biasa biarpun dalam norma baharu selepas dibenarkan oleh kerajaan memandangkan kadar kes COVID-19 di Malaysia semakin menurun.

Sehubungan dengan itu, produksi filem "ImagiNur" arahan Nik Amir Mustapha dilihat menyambung penggambaran mereka yang tertunda sejak Mac lalu pada hari ini.

Beberapa keping foto di lokasi penggambaran telah dikongsikan oleh para pelakon dan kru produksi Lumatic Films menerusi laman media sosial masing-masing.

Salah seorang pelakon utamanya, Diana Danielle, turut berkongsikan keterujaan dapat kembali ke set penggambaran selepas beberapa bulan tertangguh.

Berikut merupakan foto-foto yang dikongsikan oleh kru produksi serta pelakon Beto Kusyairy, Diana Danielle dan Nadiya Nisaa menerusi 'posting' dan Instagram Story.


"Kembali berangkat ke dunia #ImagiNur," tulis Beto Kusyairy menerusi fotonya
bersama Diana Danielle dan Nadiya Nisaa.


"Gembira dapat menyambung semula (penggambaran) di mana ia terhenti...
#ImagiNur" tulis Diana Danielle.

Sementara itu, Nadiya berkongsi tempat duduk pengarah, di mana Nik Amir dan kru produksi lain masih mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) dengan memakai pelitup muka di lokasi penggambaran.


"Director's pit (tempat duduk pengarah)" tulis Nadiya menerusi perkongsiannya.


Difahamkan Diana Danielle memegang watak Nur dalam "ImagiNur".


"Day 1 after MCO (Hari pertama selepas PKP)" tulis Faizal Noar.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, filem "ImagiNur" menandakan filem keempat arahan Nik Amir selepas "KIL" (2013), "Terbaik Dari Langit" (2014) dan "Rise: Ini Kalilah" (2018).

Buat masa ini, tarikh tayangan filem "ImagiNur" masih belum ditetapkan oleh pihak produksi, jadi nantikan berita lanjut mengenai filem ini dari Cinema Online!

(Sumber foto: Beto Kusyairy, Diana Danielle, Nadiya Nisaa, Faizal Noar Instagram)

Cinema Online, 1 Julai 2020


Showtimes